Berbeza dengan cerita sebelum ini yang melibatkan penderaan terhadap pekerja asing oleh majikan,
kali ini, seramai 733 pekerja Bangladesh yang dihantar ke Malaysia untuk bekerja di Pengerang, Johor, menerima pembayaran gaji tertunggak melebihi RM1 juta.
Menurut Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JKTSM), arahan pembayaran tersebut dikeluarkan selepas proses pendengaran tuntutan
oleh pekerja yang tidak diberikan pekerjaan seperti yang dijanjikan selepas mereka tiba di negara ini.
Pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor telah mengendalikan prosiding tersebut dengan kehadiran majikan dan pekerja serta disaksikan oleh pegawai Kedutaan Bangladesh pada hari Isnin yang lepas.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membuat pembayaran gaji sejumlah RM1,035,557.50 kepada pekerja yang terlibat.
“KSM menegaskan bahawa majikan masih bertanggungjawab untuk membayar gaji kepada pekerja yang telah dibawa masuk ke negara ini tetapi tidak diberikan pekerjaan, seperti yang ditegaskan oleh Menteri Sumber Manusia pada 16 Januari 2024 semasa mengulas kes ini.
“Syarikat juga akan menempatkan pekerja terbabit kepada majikan baharu melalui Proses Pertukaran Majikan (PTM) Khas yang akan dibantu oleh JTKSM,” katanya.
Pada 16 Januari yang lalu, JTK Johor melaporkan bahawa mereka telah menyiapkan 13 kertas siasatan berhubung isu penipuan terhadap pekerja asing yang berlaku di Pengerang, Johor.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menyatakan bahawa kertas siasatan tersebut melibatkan pelanggaran Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, telah mendedahkan bahawa kira-kira 2,500 pekerja asing telah ditipu oleh majikan di Pengerang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menekankan bahawa Malaysia tidak boleh lagi bertolak ansur dalam isu pencabulan hak asasi manusia, termasuk dalam sektor perniagaan, dan tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang tidak bertanggungjawab