Kerajaan PN tidak stabil, sukar untuk yakinkan pelabur – Johari

Kerajaan PN tidak stabil, sukar untuk yakinkan pelabur – Johari

Bekas menteri kewangan II Johari Abdul Ghani memberitahu bahawa kestabilan politik sangat penting untuk pemulihan ekonomi semasa pasca-Covid-19.

Oleh itu, beliau menjangkakan ia mungkin sukar bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berusia lima bulan, dengan hanya mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat, untuk menarik pelaburan asing.

“Sehubungan itu, untuk membangunkan ekonomi negara, perkara nombor satu yang perlu diambil kira ialah berhubung kestabilan politik.

“Kalau hanya ada kelebihan satu atau dua (kerusi dalam parlimen) maka susahlah untuk menarik pelabur datang ke Malaysia,” katanya seperti dilapor Kosmo!.

Dewan Rakyat, yang mula bersidang pada 13 Julai, menguji kekuatan politik PN ketika gabungan kerajaan itu membentangkan usul menyingkirkan Mohd Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat.

Undian menyaksikan 111 ahli Parlimen yang menyokong usul tersebut dan 109 lagi tidak menyokong.

Timbalan speaker Mohd Rashid Hasnon, yang mempengerusikan persidangan dewan ketika itu, tidak mengundi. Ahli Parlimen PN, Maximus Johnity Ongkili pula ketika itu tidak hadir kerana cuti.

Menurut Johari lagi, sebelum ini, kekuatan negara bergantung pada asas ekonomi makro dan mikro selain kestabilan politik tanpa mengubah dasar atau polisi.

Katanya, pelabur asing ragu-ragu untuk melabur di negara ini kerana ketidaktentuan pelaksanaan dasar negara.

Beliau turut menamakan pertukaran sistem percukaian dari cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebagai salah satu contoh yang menyebabkan ketidakpastian kepada pelabur asing.

“Mereka merasakan satu-satu polisi yang begitu sukar untuk dilaksanakan sebelum ini ditukar dengan begitu cepat.

“Kita perlu menghantar mesej yang jelas kepada rakyat dan pelabur asing bahawa kerajaan boleh mentadbir dengan baik dan negara aman damai, jadi kita boleh mula mengeluarkan produk serta mencipta pekerjaan dengan bantuan kedua belah pihak,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu fokus kepada sektor yang mampu membawa impak berganda terhadap ekonomi negara.

“Kuasa kerajaan untuk berbelanja banyak berkurang akibat pertambahan hutang ketara zaman pemerintahan Pakatan Harapan, namun kita tak nampak keberkesanannya (wang yang dibelanjakan) dalam pembangunan ekonomi,” katanya.

Sumber :

https://www.malaysiakini.com/news/535178

COMMENTS