Kerajaan PN Melaka hentikan serta merta Kad Peduli Sihat diperkenal PH

Kerajaan PN Melaka hentikan serta merta Kad Peduli Sihat diperkenal PH

Kerajaan negeri Melaka menghentikan serta-merta manfaat Kad Peduli Sihat yang mula diperkenalkan di negeri itu pada awal tahun lalu.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, langkah itu diambil susulan terdapat beberapa kekangan dan karenah birokrasi terhadap penggunaan kad yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga B40 di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, dana yang dikhaskan bagi program itu buat masa ini akan disalurkan kepada program bantuan lain untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Ujarnya, buat masa ini pihaknya juga sedang merangka inisiatif baharu bagi menggantikan Kad Peduli Sihat itu.

“Bantuan-bantuan yang (akan diberikan kepada mereka) lebih memerlukan dalam keadaan sekarang … Kerajaan akan cuba merangka balik satu jalan baharu bagi mengatasi masalah kad kesihatan ini.

“Jadi kerajaan negeri belum memberi kata putus tapi ianya dalam kajian. Ia menjimatkan, maknanya jimat di sini, kita tambah di sana (program lain),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Kompleks Seri Negeri pada khamis.

Awal tahun ini, kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) melancarkan Kad Peduli Sihat yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (b40).

Menerusi kad perlindungan itu, setiap keluarga memperoleh manfaat antara RM300 hingga RM500 setahun untuk mendapatkan pelbagai rawatan kesihatan di klinik swasta terpilih.

Dalam perkembangan lain, ketika menjawab soalan lisan berhubung pembinaan inisiatif golongan B40, beliau yang juga ADUN Taboh Naning berkata, Program Rumah Peduli Rakyat telah dijenamakan semula sebagai Program Rumah Prihatin.

Berita penuh : https://beta.astroawani.com/berita-malaysia/melaka-henti-sertamerta-kad-peduli-sihat-252482

COMMENTS