Kerajaan PN bazirkan 2020 dengan main politik – Mat Hassan

Kerajaan PN bazirkan 2020 dengan main politik – Mat Hassan

Kurang beberapa jam 2020 melabuhkan tirai, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, menggesa kerajaan menetapkan vaksinasi Covid-19 untuk semua rakyat dan pemulihan ekonomi sebagai matlamat utamanya tahun depan.

“Tahun 2020 telah banyak dibazirkan dengan bermain politik. Tahun 2021 adalah masa untuk mentadbir dengan serius,” kata Mohamad.

Katanya, pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan dan pemulihan ekonomi akan menentukan kewibawaan dan keseriusan kerajaan memerintah.

“Kita pasti tidak akan melupakan kesukaran 2020, dengan cabaran yang sangat luar biasa,” katanya dalam kenyataan.

“Malaysia tahun 2020 telah hilang ‘status quo’ dalam pelbagai sektor kehidupan, kesejahteraan sosial, dan ekonomi. Kita mesti segera mengembalikan Malaysia ke persada percapaian terdahulu dan menjadi lebih baik.”

Berkenaan vaksinasi, Mohamad menggesa kerajaan memperluaskan proses mendapatkan bekalan vaksin dari negara lain, namun sedar ia cabaran perubatan dan logistik yang amat besar.

Mohamad percaya Malaysia akan dapat mengatasi pandemik ini dengan teknologi, dedikasi, dan semangat patriotik kepada negara.

“Ikhtiar vaksinasi nasional ini adalah ‘litmus test’ atau ujian penentu kepada kewibawaan kerajaan,” katanya.

“Ia mesti disegerakan tanpa berlengah, kepada semua warga walau di pelusuk daerah geografi mana pun mereka berada.”

Berkenaan ekonomi pula, Mohamad menggesa kerajaan menterjemahkan “segala unjuran optimistik yang diumumkan” sebelum ini kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang “nyata”.

Beliau menyeru kerajaan melakukan “apa jua tindakan radikal” bagi merancakkan ekonomi dan segera menyediakan rancangan membuka sempadan antarabangsa.

“Kesejahteraan rakyat sangat bergantung kepadanya,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamad menegaskan ekonomi tidak akan bertumbuh, pemulihan tidak menjadi nyata, dan tiada pelaburan asing dan domestik yang bermakna “tanpa kestabilan politik dan kerajaan yang diyakini,” kata beliau.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/31/tok-mat-gesa-kerajaan-utamakan-vaksinasi-kepada-semua-ekonomi-pada-2021/

COMMENTS