Kerajaan Perlu Segerakan Pinda SOSMA

Kerajaan Malaysia digesa untuk segera menyiapkan kajian ke atas SOSMA dan membuat pindaan-pindaan perlu selaras dengan janji manifesto pilihanraya Pakatan Harapan yang lalu.

Pengarah Undang-Undang Pakatan Harapan Negeri Kelantan Hisham Fauzi ketika dihubungi menyatakan bahawa asas-asas kemanusiaan dan keperlembagaan seperti hak untuk segera di bawa ke mahkamah untuk dibicarakan, hak untuk diwakili oleh peguam, hak beribadat dan hak-hak lain perlu dijadikan elemen penting dalam pindaan yang dibuat.

“Ancaman pengganas perlu ditangani tanpa menafikan hak asas kemanusiaan dan keperlembagaan. Sudah terbukti PDRM sangat efektif dalam mengekang anasir-anasir pengganas di Malaysia sejak dulu dan saya yakin kecekapan PDRM tidak akan terjejas jika pindaan berkaitan hak asasi kemanusiaan dan keperlembagaan dimasukkan ke dalam SOSMA”.

“Dunia berkembang dengan cepat, begitu juga dengan bentuk ancaman pengganas. Tapi kita tetap manusia yang mempunyai keperluan asas yang sudah dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan hak ini perlu ditunaikan. Jika PDRM mempunyai masalah dalam mengesan penjenayah ini, maka saya mencadangkan agar keupayaan peralatan dan sumber manusia PDRM ditingkatkan, dan bukannya dengan mengetatkan undang-undang sebagaimana yang termaktub di dalam SOSMA”.

Hisham yang juga merupakan Ketua Amanah Kawasan Tanah Merah diminta mengulas isu SOSMA ini setelah seorang pakar kewangan Islam yang terkenal di alam maya yang banyak menulis buku-buku panduan kewangan dan membuat kursus-kursus pengurusan kewangan Islam ditahan dan didakwa dibawah SOSMA semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.