Kerajaan P.Pinang fokus proses pemulihan pasca Covid-19

Kerajaan P.Pinang fokus proses pemulihan pasca Covid-19

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan menyifatkan bahawa peruntukan RM30,000 yang disalurkan Kerajaan Negeri kepada setiap ADUN bagi membantu golongan terjejas ekoran impak wabak pandemik COVID-19 di kawasan masing-masing adalah tepat pada masanya.

“Terima kasih kepada Y.A.B. Ketua Menteri di atas keprihatinan dan peruntukan tersebut yang sampai tepat masanya untuk kami (ADUN) menghulurkan bantuan kepada rakyat terjejas.

“Setakat ini, sumbangan membabitkan seramai 380 penerima JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) serta AES (Agenda Ekonomi Saksama), dan 400 keluarga terkesan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban telah selesai diagihkan.

“Kita menjangkakan bakal mengagihkan lagi 500 sumbangan bantuan mengikut senarai nama yang diberikan enam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini,” ujarnya pada majlis penyampaian sumbangan keperluan barangan makanan kepada 45 keluarga terpilih di Dafe Court dan Flat Kos Rendah Bukit Jambul dekat sini pagi tadi.

Hadir menyempurnakan majlis berkaitan ialah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Kerajaan Negeri melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan peruntukan khas dana RM30,000 kepada setiap ADUN sebagai usaha membantu rakyat terjejas ekoran penularan wabak COVID-19 sehinggakan menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengembleng usaha dan memberi tumpuan bagi membangunkan semula ekonomi negeri ke peringkat seterusnya.

Menurut beliau, pembangunan masa depan Pulau Pinang adalah tertakluk kepada sejauh mana ekonomi negeri dapat dipulihkan semula selepas pasca wabak COVID-19 berakhir.

“Kebanyakan masyarakat terkesan ekoran wabak ini yang berlanjutan, sama ada daripada segi pendapatan dan juga pekerjaan, masa depan pun bergantung kepada sejauh mana ekonomi kita akan pulih.

“Justeru, di peringkat Kerajaan Negeri, sememangnya kita (Kerajaan Negeri) memberi penekanan yang seimbang di antara kesihatan awam dan (kesihatan) ekonomi.

“Fokus Kerajaan Negeri di peringkat seterusnya adalah memberikan tumpuan kepada isu-isu pemulihan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Berita Penuh :https://www.buletinmutiara.com/pasca-covid-19-fokus-kerajaan-negeri-tertumpu-kepada-isu-pemulihan/