Kerajaan lanjut PKPP tanpa lanjutkan morotarium – soal Guan Eng

Kerajaan lanjut PKPP tanpa lanjutkan morotarium – soal Guan Eng

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan pelanjutan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang diumumkan semalam tanpa sebarang pakej bantuan ekonomi tambahan.

“DAP meluahkan rasa terkejut (apabila kerajaan) melanjutkan PKPP tanpa lanjutan morotarium pinjaman bank selama enam bulan dan tambahan peruntukan RM45 billion dana ekonomi Covid-19.

“Ini akan memberi kesan buruk kepada usaha menyelamatkan pekerjaan di Malaysia, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kini pengeluar,” kata dalam satu kenyataan hari ini.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu sedar lanjutan PKPP akan memberikan akibat ekonomi yang negatif yang perlu dikurangkan dengan bantuan kewangan.

“Jaminan bahawa wabak Covid-19 terkawal akan lebih menggembirakan pekerja dan perniagaan kecil jika langkah kewangan juga diumumkan untuk meningkatkan ekonomi kita dari kemelesatan semasa,” katanya lagi.

Dalam perutusan khas semalam, Muhyiddin berkata penularan wabak Covid-19 di Malaysia pada tahap terkawal namun kerajaan masih memerlukan mekanisme undang-undang untuk meneruskan usaha-usaha mencegah dan mengawalnya.

“Justeru, demi kepentingan saudara-saudari sekalian, kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

Lim yang juga merupakan Anggota Parlimen Bagan turut mengingatkan Muhyiddin bahawa lebih 41 peratus pengilang Malaysia telah berkata bahawa perniagaan mereka hanya mampu bertahan sehingga hujung tahun ini susulan kerugian akibat penguatkuasaan PKP.

“Kadar pengganguran 4.9 peratus pada Jun adalah masih tinggi dan fakta tersembunyi bahawa ramai yang bekerja di bawah kelulusan dan kemahiran (underemployed), dan profesional seperti juruterbang perlu membuat kerja selain memandu kapal terbang,” katanya lagi.

Lim juga membangkitkan laporan Jabatan Statistik Malaysia pada April lalu bahawa 84 peratus pekerja swasta mengalami potongan gaji serta dapatan Bank Negara bahawa ketika suku kedua, gaji sektor swasta menurun 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Situasi ini akan jadi lebih teruk tanpa pakej stimulus kerajaan, subsidi gaji dan moratorium pinjaman. Jelas tambahan RM45 billion diperlukan untuk dana RM45 billion sedia ada (jumlah RM90 billion) untuk menyelamatkan bukan sahaja pekerjaan di Malaysia dan PKS tetapi juga pengeluar,” katanya lagi.

Lim juga berkata kerajaan perlu melanjutkan moratorium pinjaman bank untuk enam bulan lagi.

Katanya, lapan juta rakyat Malaysia dan syarikat telah mendapat faedah daripada moratorium sebelum ini, yang melibatkan nilai RM74.3 billion.

“Lanjutan moratorium enam bulan lagi selepas ia tamat pada 30 September ini hanya akan membuatkan bank menanggung lagi RM6.4 bilion (nilai pinjaman yang ditangguh bayarannya).

“Industri perbankan boleh menanggung RM6.4 bilion kerana mendapat faedah cukai RM32 bilion tahun lalu. Jika industri itu enggan menanggung kos itu, kerajaan perlu mengeluarkan RM6.4 billion,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/540611

COMMENTS