Kerajaan diminta lebih telus berkongsi data Covid-19 , kata pakar

Kerajaan diminta lebih telus berkongsi data Covid-19 , kata pakar

Kerajaan digesa menguruskan pandemik Covid-19 dengan lebih telus dan terbuka, berikutan kurangnya data mengenai aktiviti di lapangan, kata doktor dan ahli ekonomi.

Pakar Perubatan Pusat Pakar KPJ Damansara Dr Musa Nordin ketika bercakap di webinar bertajuk “Covid-19: Mencari Penyelesaian”, berkata agak mengecewakan apabila data berhubung Covid-19 di negara ini hanya diperoleh melalui laporan luar negara.

“Ketika perdana menteri membuat pengumumannya dua hari lalu, kami melihat data paling banyak dari segi kemampuan hospital.

“Mengapa ia tidak didedahkan lebih awal?,” soalnya ketika menjadi antara panel webinar yang dianjurkan Edunity Foundation dan G25, sebuah kumpulan terdiri daripada bekas pegawai kanan awam.

Bekas pengarah bahagian pembangunan kesihatan keluarga Kementerian Kesihatan yang juga pengendali acara, Dr Narimah Awin, berkata rakyat berhak mendapat lebih banyak maklumat selain jumlah kes harian dan kluster diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari.

“Data tidak akan berguna sehingga ia menjadi maklumat. Malah ia tidak penting sehingga anda mengubah maklumat menjadi pengetahuan. Dengan kebijaksanaan dan pengetahuan itu, anda dapat membentuk pendapat, “katanya.

Ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram berkata, terdapat statistik rasmi mengenai pengangguran di Malaysia, tetapi ia tidak mendedahkan bagaimana mereka yang terkesan ini berdepan dengan wabak tersebut.

Jomo mendakwa, Jabatan Statistik telah berusaha untuk menjalankan beberapa tinjauan ketika negara mula dilanda wabak itu, namun ia tidak diteruskan dan tidak diterbitkan kerana tiada sokongan.

“Tidak banyak yang kami tahu mengenai apa yang sebenarnya berlaku di lapangan dan negeri-negeri lain,” kata Jomo.

Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan, Dr Christopher Lee berkata, kerajaan harus menerapkan pendekatan lebih bersifat intersektoral agar lebih banyak pihak dapat masuk dan membantu menguruskan kesan wabak tersebut.

“Kerjasama itu perlulah berkesan dan bermakna. Kita juga perlu mendengar apa kata menteri lain, dan bukan hanya mereka yang kita sering dengar sekarang, ”katanya.

Berhubung vaksin Covid-19, Musa berkata ia selamat, berkesan dan tidak mengandungi bahan beracun atau tidak halal.

Katanya, ancaman terbesar vaksin tersebut adalah anafilaksis (kesan alahan yang serius), namun menjelaskan kemungkinan kematian akibatnya adalah satu dalam 303,000, berbanding satu dari 250 orang yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia.

Musa berkata, lebih daripada 100,000 peserta telah selamat menjalani ujian klinikal, jumlah responden paling ramai terbabit dalam pembangunan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/13/data-covid-19-perlu-lebih-telus-kata-pakar-kepada-putrajaya/

COMMENTS