Kerajaan dikritik hebat kerana umum SOP lengkap PKP ‘last minute’

Kerajaan dikritik hebat kerana umum SOP lengkap PKP ‘last minute’

Sejumlah ahli Parlimen mengkritik kaedah kerajaan mengendalikan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang baru.

Ia selepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata perincian prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci berkenaannya akan diumumkan petang esok, iaitu beberapa jam sebelum ia berkuat kuasa.

PKP pelbagai peringkat itu akan berkuat kuasa pada tengah malam 13 Jan dan dijadual berakhir pada 26 Jan.

Bagaimanapun Ismail berkata dia akan mengumumkan SOP pelaksanaannya pada sidang media jam lima petang esok.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, dia menjangka kerajaan akan memberikan perinciannya beberapa jam selepas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada pukul enam petang tadi.

“Nampaknya perinciannya hanya akan diketahui esok. Bolehkah perdana menteri Bersatu membuat penyelarasan dengan menteri Umno?” soalnya di Facebook.

Katanya lagi, perniagaan tidak akan ada banyak masa untuk buat persediaan.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching pula berkata, dia memahami keperluan pelaksanaan PKP tetapi mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya mengeluarkan perinciannya di saat akhir.

“PKP akan berkuat kuasa tengah malam pada 13 Jan. Mengapa tunggu sehingga jam lima petang 12 Jan untuk mengumumkan SOP berkaitan?

“Mengapa kerajaan sentiasa gagal untuk belajar daripada kesilapan lalu?” soalnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil juga menyuarakan perkara sama dan menurutnya kerajaan tidak boleh menangguhkan perkara itu.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) perlu buat pengumuman malam ini juga. Mereka tak boleh tunggu,” katanya di Facebook.

Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan kenyataan malam ini, yang antara lain berkata sekolah akan mengeluarkan surat kebenaran khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan utama hadir ke sekolah.

Pelajar lain pula akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kata KPM.

Bagaimanapun, ketika laporan ini ditulis, Miti belum mengeluarkan apa-apa makluman.

Begitu juga dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengendalikan SOP umum.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata timbul kekeliruan sejak Jumaat lalu susulan spekulasi PKP akan dikuatkuasakan semula.

“Namun, tanpa penjelasan lanjut dari Miti, para majikan dan pekerja sekali lagi tidak diberikan masa yang cukup bagi membuat persiapan untuk PKP,” katanya.

Katanya, PKP akan terus menjejaskan perniagaan dan pekerja dan menggesa kerajaan mengumumkan pakej bantuan yang dianggarkan berjumlah RM500 juta.

Dia juga menggesa kerajaan untuk lebih telus berhubung maklumat berkenaan Covid-19, seperti lokasi berlakunya penularan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/558525

COMMENTS