Penyakit obesiti merupakan salah satu masalah kesihatan utama yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.
Masalah ini sering dikaitkan dengan pengambilan gula yang berlebihan, baik dalam makanan mahupun minuman.
Baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar cukai minuman bergula (SSB) sebagai usaha untuk membendung penyakit berkaitan gula dengan lebih berkesan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengumumkan bahawa kadar kenaikan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 bulan depan.
Menurutnya, kenaikan cukai sebanyak 50 sen ke atas minuman bergula sebelum ini telah mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Pada bulan Januari lalu, kami mendapat bukti bahawa pengurangan sebanyak 9% telah dicapai. Ini menunjukkan keberkesanan program kami,” kata Dr Dzulkefly dalam satu temu ramah.
Respon daripada orang ramai menunjukkan bahawa ramai yang menyokong langkah tersebut, walaupun ada yang meragui keberkesanannya. Ada warganet yang menyamakan langkah ini dengan tindakan negara Korea yang mengenakan cukai ke atas makanan ringan (junk food) untuk mendorong rakyat memilih makanan yang lebih sihat.
Namun, ada juga yang mendakwa bahawa penyakit diabetes bukan hanya disebabkan oleh minuman manis tetapi juga akibat pengambilan karbohidrat yang berlebihan. Selain itu, terdapat kebimbangan di kalangan warganet mengenai kemungkinan kenaikan harga barangan lain selepas cukai SSB dilaksanakan.
Orang ramai turut mencadangkan agar harga makanan dan minuman yang berkhasiat diturunkan. Ini kerana harga makanan dan minuman yang tidak menyihatkan tubuh badan sering kali jauh lebih murah.