Selepas hampir 30 tahun, kerajaan secara prinsip bersetuju memberi kebenaran kepada pengusaha stesen minyak
untuk menggaji pekerja asing bagi menjalankan tugas pembersihan serta kerja-kerja mencuci di kafe dan kedai serbaneka stesen minyak.
Perkara ini diumumkan dalam mesyuarat bersama yang dipengerusikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), hari ini.
Tiada Penambahan Kuota Pekerja Asing
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa langkah ini tidak melibatkan penambahan jumlah pekerja asing baharu.
Sebaliknya, ia akan dilaksanakan melalui mekanisme pertukaran majikan.
**”Sejak 1995, Kabinet membekukan pengambilan pekerja asing di stesen minyak kerana sistem layan diri diperkenalkan. Oleh itu, pekerja asing tidak dibenarkan bekerja di sektor ini.
“Namun, evolusi berlaku sejak itu. Kini, stesen minyak turut mempunyai kafe, kedai serbaneka, dan perkhidmatan lain.
Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mencadangkan agar pekerja asing dibenarkan semula untuk tujuan pembersihan dan pencucian,”** katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat sekitar 4,000 stesen minyak di seluruh negara dengan keperluan pekerja asing dianggarkan 40,000 orang.
Pembekuan Kuota Kekal Hingga Tahun Depan
Saifuddin juga menyatakan bahawa pembekuan permohonan kuota pekerja asing akan diteruskan sehingga suku pertama tahun depan. Keputusan ini akan dinilai semula berdasarkan data baharu daripada Kementerian Ekonomi.
“Daripada siling 15 peratus jumlah tenaga kerja, iaitu 17.2 juta pekerja, kita telah mencapai 2.58 juta pekerja asing. Defisit kini hanya 45,000, jadi kuota tambahan tidak diperlukan buat masa ini,” katanya.
Penurunan Kemasukan Pekerja Asing
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, memaklumkan bahawa terdapat penurunan kemasukan pekerja asing sejak Mei lalu hasil kerjasama KDN dan KESUMA.
Beliau menegaskan bahawa permohonan pengambilan pekerja asing kini lebih ketat, termasuk larangan penggunaan ejen. Hanya majikan sendiri dibenarkan menguruskan permohonan.
“Sebagai contoh, daripada 176 majikan dalam sektor perladangan yang memohon, sebanyak 30 peratus permohonan ditolak atas faktor tertentu,” katanya.
Keputusan ini diharap dapat mengimbangi keperluan tenaga kerja asing sambil terus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
BACA: PR kelaut, Chagee ugut saman netizen yang viralkan staf sorok cawan peraduan