Keputusan longgarkan PKP tergesa-gesa, boleh undang risiko tinggi

Keputusan longgarkan PKP tergesa-gesa, boleh undang risiko tinggi

Pengamal bidang pengurusan risiko hari ini menggesa kerajaan untuk mengkaji semula keputusan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkan hampir semua perniagaan beroperasi sepenuhnya pada 4 Mei ini.

Ini berikutan keputusan itu boleh mengundang risiko tinggi jika ia terbukti gagal dikawal atau dipantau secara konsisten.

Presiden Institut Antarabangsa Pengurusan Risiko dan Strategi Krisis (IIRMACS), Prof Datuk Dr Mohd Rasid Hussin, menyifatkan keputusan membuka semula perniagaan sebagai tergesa-gesa kerana PKP Fasa 4 masih dijalankan sehingga 12 Mei ini.

“Saya tidak melihat sebarang rasional untuk kerajaan bertindak sedemikian. Tidak wujud sebarang (keperluan) untuk tergesa-gesa dan sepatutnya ia dilakukan secara beransur-ansur supaya orang ramai serta pihak berkepentingan yang relevan lebih bersedia.

“Tindakan tergesa-gesa ini sebaliknya boleh mencetuskan risiko tinggi dan berpotensi menjadi krisis kepada negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan, prinsip pengurusan risiko yang penting dan perlu diambil kira adalah pertimbangan aspek kepentingan ekonomi dan keselamatan awam.

Mohd Rasid turut merujuk Jepun, Kanada dan Singapura yang disifatkannya memandang ringan kemungkinan risiko yang timbul dan akibatnya terpaksa menanggung kesannya apabila pandemik COVID-19 berulang.

Di Malaysia, katanya, semua usaha akan menjadi sia-sia jika gelombang baharu berlaku walaupun kerajaan sudah terbukti cemerlang dalam usaha mengawal pandemik itu sejak 18 Mac lalu.

“Sekiranya tempoh 4 Mei dan seterusnya kita gagal membendung penularan itu, ia pasti menyedihkan terutamanya untuk kalangan petugas barisan hadapan yang bekerja keras dan cemerlang sejak hari pertama lagi,” katanya.

Mohd Rasid juga meminta kerajaan tidak tunduk dengan sebarang tekanan daripada pihak berkepentingan sebaliknya mengutamakan risiko kesihatan dan potensi berlaku krisis baharu.

Malah, keselamatan dan kebajikan rakyat perlu dipentingkan dan tidak harus wujud sebarang kompromi demi manfaat kumpulan majoriti berkenaan.

“Negara mahu pun rakyat masih berisiko terhadapnya. Kita perlu mengamalkan pengurusan risiko menerusi pelaksanaan langkah-langkah pengurusan dan mengurangkan risiko.

“Selama ini kita banyak bergantung kepada penjarakan sosial bagi membendung penularan COVID-19 walaupun masih banyak yang tidak mengamalkannya. Oleh itu, kita bimbang bagaimana impaknya apabila PKP dilonggarkan,” katanya.

Menurutnya, sewaktu pandemik Spanish Flu pada 1918, ramai yang bergegas untuk menyambung semula rutin kehidupan yang akhirnya meragut 20 juta sehingga 50 juta nyawa pada gelombang kedua berbanding 3-5 juta orang pada gelombang pertama.

Katanya, sekiranya keputusan kelonggaran PKP tidak dipertimbangkan, kerajaan perlu terus bersedia dengan langkah kawalan bagi mengelak peningkatan kes baharu COVID-19, termasuk menggerakkan semua jentera dan agensi kerajaan memantau rapat pelaksanaan PKP dengan tumpuan serius terhadap pengurusan data bagi menangani risiko secara berkesan.

Mohd Rasid juga menggesa kerajaan untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), entiti pengurusan risiko yang relevan selain menjalankan libat urus dan berkomunikasi secara aktif dengan pakar, sarjana dan pengamal industri.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/684387/pkp-kaji-semula-keputusan-melonggarkannya

COMMENTS