Seorang pelakon popular telah mengundang perbincangan hangat baru-baru ini selepas membuat pendedahan bahawa dirinya disantau.
Mana tidaknya, pelakon lelaki berusia 27 tahun itu mengaku telah mengalami gejala seperti disantau selepas terlibat dengan satu pembikinan filem pada tahun 2019 lalu.
Sempat disangka sedang bergurau, pelakon berkenaan menegaskan dirinya disantau dan mula menyedarinya apabila kepalanya tiba-tiba ditumbuhi banyak kelemumur.
Tular di media sosial, pelakon asal Indonesia yang dikenali sebagai Aliando Syarief itu mendedahkan perkara tersebut ketika hadir ke program temu bual Kejar Setoran.
Menurut Aliando, kejadian mistik tersebut masih dialaminya sehingga kini walaupun telah mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan, lapor Suara.com.
“Saya rasa seperti disantau. Bahasa kasarnya santau tapi sejujurnya saya juga tidak tahu sedang berhadapan dengan penyakit apa.
“Kepala dipenuhi kelemumur dengan tiba-tiba sejak tahun 2019 selepas berlakon di filem Warkop. Sampai sekarang masih ada,” katanya menerusi sesi temu bual itu.
Aliando turut mengalami gejala lain selepas disantau iaitu ‘vertigo’ di mana dirinya merasakan pening yang kronik sehingga dunianya seakan-akan berputar.
Pelakon kacukan Arab-Minangkabau itu sempat berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat pakar bagi menyembuhkan gejalanya menerusi perubatan moden.
Namun begitu, hasil pemantauan daripada pakar perubatan mendapati tiada penyakit yang dapat dikesan di dalam tubuh badan pelakon tersebut.
Aliando Syarief pernah menjadi pelakon kegilaan gadis Malaysia suatu ketika dahulu
“Iya, kelemumur. Selepas itu pening seakan-akan vertigo. Dunia seperti berputar. Kadang-kadang saya juga rasakan macam dalam kepala tiada otak.
“Santau itu misteri. Jadi doktor tidak dapat mengesan penyakit apa. Datangnya setiap hari (gejala). Setiap waktu. Sampai sekarang masih ada.” Katanya memetik Suara.com.
Sesi pendedahan Aliando yang mengakui mengalami kejadian misteri apabila dirinya disantau itu turut ditayangkan di saluran media sosial Youtube milik Tuah Kreasi.