Kenali mesin ATM paling tinggi di dunia

Kenali mesin ATM paling tinggi di dunia

Kenali mesin ATM paling tinggi di dunia. Sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) yang terletak di Lintasan Khunjerab iaitu antara sempadan China dan Pakistan, diiktiraf sebagai mesin ATM tertinggi di dunia pada altitud 4,693 meter, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.

Didirikan oleh Bank Nasional Pakistan (NBP) pada 2016, mesin yang dijana tenaga solar dan angin itu terletak di lokasi terpencil.

Kerja memasang ATM yang diiktiraf Guinness World Records sebagai tertinggi di dunia itu ternyata rumit, malah NBP mengambil masa kira-kira empat bulan untuk menyiapkannya.

Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan pengisian semula wang pada mesin tersebut secara berkala juga merupakan urusan yang sukar kerana cawangan bank terdekat berada pada jarak 82 kilometer.

Seorang jurucakap NBP memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa secara kebiasaan, pihaknya mengambil masa antara 2 jam hingga 2 jam 30 minit untuk sampai ke lokasi ATM tersebut sekiranya ia perlu segera dibaiki.

Kenali mesin ATM paling tinggi di dunia

Pengurus cawangan NBP, Zahid Hussain kerap memandu ke lokasi ATM tersebut dan berdepan cabaran seperti angin kuat, ribut serta bencana tanah runtuh di samping laluan gunung berbahaya bagi memastikan ia sentiasa berfungsi dengan baik.

Mesin ATM itu biasanya digunakan oleh anggota pengawal sempadan untuk mengeluarkan wang gaji mereka selain sebilangan kecil penduduk setempat serta individu yang melintasi sempadan menggunakan pas sempadan.

Menurut laporan, sekitar AS$18,350 hingga AS$23,000 (RM85,728 hingga RM107,451) wang tunai dikeluarkan dari mesin tersebut dalam tempoh selang beberapa minggu.

Meskipun bilangan transaksi adalah rendah, NBP sentiasa memastikan mesin ATM tersebut berada dalam keadaan baik disebabkan keadaan pelanggan yang bergantung kepadanya.

“Mungkin bilangan transaksi tidak tinggi, namun mereka yang tinggal di sekitar lokasi itu tidak mempunyai medium lain untuk memindahkan wang gaji mereka kepada ahli keluarga dan insan tersayang,” kata Zahid.

BACA:

KKM arah semua restoran label kalori setiap makanan

Pemuda datang naik motosikal daftar sendiri masuk Universiti dipuji

Tragedi stadium bola: 131 nyawa terkorban, ratusan polis sujud mohon maaf

CATEGORIES