Kena terus patuhi PKP, tegur Dr Noor Hisham

Kena terus patuhi PKP, tegur Dr Noor Hisham

Penurunan jumlah kes positif COVID-19 berturut-turut itu bukan alasan kepada masyarakat tidak lagi perlu patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya khuatir sekiranya penurunan jumlah kes beberapa hari ini disalah erti masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya khuatir ia membuatkan mereka alpa dan mengambil mudah pelaksanaan PKP serta menganggap wabak sudah selesai.

“Susulan itu, rakyat negara diminta untuk terus patuh dengan perintah PKP walaupun perkembangan dalam penurunan kes ini sememangnya positif.

“Namun, masyarakat masih perlu berada di rumah, mengamalkan jarak sosial yang selamat (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan juga mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.

“Pendekatan ini penting dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan. Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui maklumat diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/678729/kes-covid-19-turun-bukan-alasan-tak-patuh-pkp