Kena rogol di lokap, SOP keselamatan perlu dikaji semula – Aktivis

Kena rogol di lokap, SOP keselamatan perlu dikaji semula – Aktivis

Seorang aktivis hak asasi kanak-kanak menggesa peraturan lokap polis atau SOP segera dikaji semula kerana ia tidak lagi berkesan untuk menjamin keselamatan tahanan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana, James Nayagam, berkata mustahil untuk seorang kanak-kanak perempuan dirogol oleh tahanan lain dalam lokap polis, sekiranya polis yang bertugas melaksanakan kewajipan mereka dan mengikuti SOP.

“Selain dua polis yang bertugas semasa kejadian itu, ketua polis daerah juga perlu disiasat dan dihukum kerana gagal memastikan pegawainya mematuhi SOP dan keselamatan balai polis,” katanya kepada FMT.

“Mana CCTV yang sepatutnya dipantau 24 jam? Adakah CCTV berfungsi? Kedua, kenapa anda (ketua daerah polis) menugaskan dua anggota polis untuk bertugas ketika ada remaja wanita ditahan di lokap?

“Ini menunjukkan lokap polis bukan lagi tempat yang selamat dan SOP semasa mesti dikaji semula.”

Dalam kejadian 9 Jan lalu, seorang remaja berusia 16 tahun dilaporkan dirogol oleh seorang banduan lain ketika mangsa ditahan di lokap di Balai Polis Miri.

Kes itu, yang diketengahkan oleh senator DAP, Alan Ling, dikatakan berlaku antara 4 pagi dan 5 pagi, sehari selepas remaja terbabit ditahan dalam satu serbuan judi.

Sementara itu, satu NGO wanita menegaskan kanak-kanak bawah umur tidak boleh ditempatkan di pusat tahanan atau lokap.

Mayna Patel dari Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM) mencadangkan agar kanak-kanak bawah umur yang disiasat atau disyaki melakukan jenayah kecil ditahan di rumah di mana ibu bapa atau penjaga boleh menjadi penjamin mereka.

“Bagi kanak-kanak bawah umur yang disiasat atas kesalahan serius, mereka sepatutnya ditempatkan bawah fasiliti juvana,” katanya, sambil menambah CCTV di lokap dan di balai polis sangat penting untuk memantau apa yang sedang berlaku.

Mayna menggesa kerajaan melengkapkan semua balai polis dengan CCTV dan memastikan tenaga kerja yang mencukupi di mana polis tidak akan dibebani tugas lain atau terlalu banyak tugasan.

Beliau berkata mangsa memerlukan sokongan untuk berdepan dengan apa yang berlaku, dari segi perundangan dan emosi. Sokongan kesihatan mental untuk mangsa keganasan perlu jadi keperluan. Tambahan pula, apabila ia membabitkan mangsa bawah umur, impak itu akan memberi kesan jangka panjang atau kekal dalam hidup mereka.

Beliau berkata, penyiasat juga perlu menyiasat pengalaman lalu pelaku berusia 19 tahun itu sama ada dia sendiri pernah menjadi mangsa rogol dan penderaan.

“Ada banyak lagi alasan kenapa kanak-kanak di bawah umur tidak boleh diletakkan bersama orang dewasa dan kes mereka ditangani dengan lebih berhati-hati dan sensitiviti oleh pihak berkuasa.”

Mayna berkata, balai polis sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk semua orang tetapi, malangnya, itu tidak berlaku.

“Tahun lalu, organisasi saya mencatatkan beberapa kes di mana mereka yang menjadi mangsa takut berada di balai polis kerana mereka tidak diberi sokongan malah sesetengahnya terus diganggu.

“Imej polis sebagai pelindung rakyat kini tercalar dan keadaan ini perlu diperbaiki dengan segera,” katanya. – FMT