Kelayakan Tian Chua tanding pilihan raya diketahui pada 6 Nov

TIAN-CHUA (1)
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Nov untuk keputusan permohonan bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali Tian Chua berhubung kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Datuk Gurdial Singh Nijal yang mewakili Tian Chua, 56, selaku pemohon manakala Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Maisarah Juhari bertindak bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang merupakan responden.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Tian Chua berkata keputusan permohonannya akan dibuat pada 6 Nov, pukul 2.30 petang.

Pada, 26 April lepas, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding dalam pilihan raya.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa dia layak bertanding mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap dua tuduhan, menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman tersebut.

Tian Chua berkata bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Tian Chua mendakwa pernah menjadi calon, bertanding dan menang serta menjadi ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 tanpa sebarang bantahan.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum ini, dua Mahkamah Tinggi itu, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya, masing masing atas kesalahan menghina pegawai polis dan menganggu penjawat awam.

BERNAMA