Kelantan hormati hak bukan Islam minum arak, tak beku permohonan lesen – Nik Amar

Kelantan hormati hak bukan Islam minum arak, tak beku permohonan lesen – Nik Amar

Kerajaan negeri Kelantan tidak mengambil tindakan untuk membekukan permohonan lesen baru penjualan arak seperti yang diambil oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata, ini kerana kerajaan negeri mempunyai dasar sendiri dalam perkara tersebut.

“Nak mohon lesen orang bukan Islam dibolehkan, boleh mohon tetapi bersyarat iaitu kedai khusus untuk bukan Islam.

“Kedua keperluan masyarakat, adakah kedai itu mencukupi atau lebih dengan jumlah orang yang ada.

‘Setakat ini difahamkan jumlah lesen penjualan arak yang diluluskan untuk bukan Islam mencukupi iaitu 15 lesen di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di kediaman rasmi menteri besar Kelantan, JKR 10, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan untuk Kelantan membekukan kelulusan baru bagi lesen penjualan arak seperti dilakukan oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pembekuan semua permohonan baru untuk lesen minuman keras berkuatkuasa serta merta.

Sementara itu Mohd Amar berharap dasar yang digunapakai oleh Kelantan boleh diteliti oleh kerajaan persekutuan sebagai panduan dalam menguruskan permasalahan yang berkait dengan arak.

“Kita tidak menafikan hak orang bukan Islam untum minum arak, kita hormati cuma di Kelantan ada kawalan antaranya tidak boleh dijual secara terbuka dan tidak boleh dijual di premis awam.

“Hanya di premis tertentu premis awam yang khusus untuk orang bukan Islam. Jadi mungkin (kaedah) ini juga diguna di luar Kelantan (negeri lain),” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/528543

COMMENTS