Kekasih tak tepati janji untuk kahwin, wanita mohon keluar Islam ini puncanya

Oleh AHMAD SULAIMAN

Bercinta dengan kekasih berlainan agama ini mempunyai pelbagai risiko apatah lagi jika salah seorang masuk Islam demi menghalalkan hubungan.

Umum sedia tahun bukan senang untuk keluar Islam selepas memeluknya namun disebabkan kecewa ada mualaf yang memilih untuk kembali kepada agama asal.

Seorang wanita Sarawak merayu untuk tinggalkan Islam dan kembali kepada agama Kristian lapor Malaysia Kini.

Wanita tersebut memaklumkan dia sudah berpisah dengan lelaki Melayu yang berjanji untuk mengahwininya.

Peguam, Iqbal Harith Liang memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa anak guamnya mahukan peluang untuk berhujah kesnya di mahkamah sivil berbanding mahkamah syariah.

Kekasih tak tepati janji untuk kahwin, wanita mohon keluar Islam ini puncanya

Katanya, wanita itu tidak boleh dijangka akan mendapatkan penyelesaian di mahkamah syariah memandangkan sentimen terhadap orang yang mahu menukar agama.

“Dia adalah mangsa keadaan, yang bukan kerana tindakannya sendiri.

“Dia jenis yang mengejar cinta sampai ke hujung. Tetapi malangnya percintaan itu terhalang oleh garis agama di negara ini.

“Sekarang dia terperangkap untuk bebas dan kembali ke identiti Kristian,” katanya terhadap tiga panel hakim yang diketuai oleh Supang Lian seperti dipetik Malaysia Kini.

Wanita tersebut memeluk Islam pada 18 Ogos 2017 untuk berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam namun hubungan tidak berpanjangan.

Disebabkan itu, wanita berusia 26 tahun tersebut memohon kebenaran untuk membuat semakan kehakiman bagi mengeluarkan namanya daripada daftar mualaf.

Panel hakim–yang turut dianggotai oleh Lim Chong Fong dan Ahmad Fairuz Zainol Abidin–tidak membuat sebarang keputusan.

Pengurusan kes akan berlangsung pada 11 Oktober depan bagi menetapkan tarikh penyampaian keputusan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 September lepas menolak permohonan wanita itu dan memutuskan ia berada bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Baca juga: Henti cuit PH, MB Pahang sokong teguran Zahid Hamidi