Kekalkan norma baharu walaupun selepas PKP, saran MB Kedah

Kekalkan norma baharu walaupun selepas PKP, saran MB Kedah

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir menyeru kalangan rakyat untuk terus mengamalkan perkara mahu pun amalan yang kini menjadi norma baharu dalam kehidupan di sepanjang tempoh penularan COVID-19 di seluruh dunia, biar pun selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Menurut Mukhriz, penamatan PKP bukanlah bererti ‘hari bebas virus’ dengan langkah berjaga-jaga perlu terus diterapkan supaya COVID-19 tidak kembali tersebar meluas seperti sebelum ini.

“Teruslah mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengamalkan penjarakan sosial, mengelak berkumpul dalam kumpulan ramai serta mengamalkan kebersihan diri. Amalan ini harus menjadi sesuatu yang normal selepas PKP.

“Sebagai contoh warga tua perlu bersedia dan faham sekiranya anak-anak muda tidak lagi menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Golongan muda pula kalau ada yang minat berkumpul beramai-ramai, mungkin perlu hadkan aktiviti sedemikian bagi mengelakkan penularan baharu COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual menerusi panggilan telefon di Radio Kedah FM di sini, hari ini.

Mengulas mengenai inisiatif dilaksanakan bagi membantu rakyat negeri Kedah yang terkesan akibat COVID-19, Mukhriz memaklumkan setakat ini sebanyak 27,000 pek makanan kering sumbangan Kerajaan Persekutuan telah diagihkan dengan beliau difahamkan selepas ini akan ada lagi pertambahan bantuan akan dihulurkan.

“Setiap wakil rakyat negeri juga telah diberikan peruntukan dari kerajaan negeri untuk menyalurkan bantuan berupa pek makanan kepada golongan memerlukan di kawasan masing-masing .

“Kita juga mengalu-alukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut serta menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan ini. Setakat ini kita telah menerima hampir 10,000 pek makanan yang disumbangkan dan sebahagian besarnya telah diagihkan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, seramai 42,498 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima bantuan bulan Mei lebih awal pada 17 April lepas.

“Dalam masa sama kita mahu mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang telah menunaikan tanggungjawab semenjak PKP bermula pada 18 Mac lalu. Yakinlah bahawa seluruh rakyat Kedah menyanjung usaha anda lakukan serta segala yang dilaksanakan ini tidak sia-sia.

“Segala perkhidmatan diberikan amat dihargai dan andar merupakan kumpulan manusia hebat yang telah menyumbang kepada negeri ini,” ujarnya.

Sumber:

COMMENTS