Kegiatan perjudian di Sungai Buloh hanya tohmahan

Kegiatan perjudian di Sungai Buloh hanya tohmahan

Dakwaan wujud kegiatan perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang tular dalam laman sosial Facebook petang semalam hanya tohmahan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata individu terbabit tidak pernah tampil memaklumkan kepada polis kewujudan premis judi dan penjualan rokok seludup oleh warga asing dari Aceh, di kawasan berkenaan.

Shafa’aton berkata, tindakan pengadu itu memuat naik dua video secara langsung menerusi akaun Facebook Hot Burger Malaysia semalam boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Ketua Polis Balai Sungai Buloh, Polis Diraja Malaysia dan Ketua Polis Selangor.

“Ini kerana maklumat yang diberikan dalam video berkenaan tidak tepat sehingga boleh menjatuhkan kredibiliti polis dalam menangani kegiatan perjudian di Sungai Buloh.

“Selepas pendedahan video berkenaan, polis melakukan enam serbuan ke atas premis seperti ditularkan dalam Facebook Hot Burger Malaysia.

“Lima daripadanya kosong, manakala satu premis masih beroperasi,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis menahan dua lelaki warga Bangladesh dan merampas empat tablet jenama jumper; satu tablet kawalan utama jenama jumper; satu unit modem dan wang tunai berjumlah RM114.

“Lima premis di tempat berlainan didapati dalam keadaan berkunci dan polis terpaksa menggunakan pemotong besi dan kuku kambing untuk membuka pintu premis. Pemeriksaan dalam premis itu didapati tidak beroperasi.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sepanjang tahun ini, Shafa’aton berkata, IPD Sungai Buloh melakukan sembilan serbuan dengan kejayaan tujuh tangkapan ke atas penjaga premis perjudian; lapan tangkapan pemain; lima rampasan komputer riba dan 23 rampasan tablet dengan jumlah wang tunai sebanyak RM546.

Beliau mempersoal motif individu yang menularkan video berkenaan dengan mendakwa nyawanya terancam kerana membuat pendedahan itu.

“Kita sedang mengesannya dan akan memanggilnya dalam masa terdekat untuk menjalankan siasatan, termasuk mendapatkan maklumat mengenai pendedahannya,” katanya.

Dalam video yang tular menerusi Facebook Hot Burger Malaysia yang dikongsikan pemilik akaun Facebook Asri Janggut, petang semalam, dia membangkitkan isu kegiatan perjudian di beberapa unit kedai dan kegiatan penjualan rokok seludup.

Selain itu dia turut mendakwa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis disyaki menerima suapan daripada sindiket yang menjalankan kegiatan haram berkenaan.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, bertegas akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang bersekongkol dengan sindiket terbabit.

Dua video dengan tempoh 13.28 saat dan 8.29 saat itu ditonton oleh jutaan orang.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/719463/kpd-sungai-buloh-sifatkan-dakwaan-judi-fitnah

COMMENTS