Kegagalan hantar laporan Covid-19, seseorang mesti bertanggungjawab

Kegagalan hantar laporan Covid-19, seseorang mesti bertanggungjawab

Masih belum terlewat untuk mengulas sedikit kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Noor Hisham berkenaan lonjakkan angka Covid-19 yang sering dilaporkan.

Menurut beliau, lonjakkan jumlah kes harian Covid-19 ini adalah disebabkan berlakunya kes-kes lama yang lewat untuk dilaporkan. Namun apa jua alasan yang telah diberikan oleh KP Kesihatan ini, kesannya terhadap rakyat di seluruh negara sudahpun berlaku serta tidak mungkin dapat dinafikan sebegitu saja.

Persoalan yang timbul ialah pihak manakah yang seharusnya memikul tanggungjawab atas kegagalan tersebut? Adakah Kementerian Kesihatan, KDN atau PM sendiri yang merupakan ketua kerajaan PN ini?

Timbul juga persoalan seterusnya, iaitu apakah kelewatan dalam menghantar laporan terhadap kes Covid-19 ini adalah satu konspirasi yang telah dirancang agar memudahkan kerajaan PN ini menjadikan alasan untuk memohon pengisytiharan darurat sebagaimana yang digembar-gemburkan dalam kebanyakkan media sosial? Atau adakah ia kelemahan dan kegagalan sebenar yang tidak disengajakan?

Walau apapun juga alasan akan diberikan oleh pihak kerajaan PN yang tidak cukup majoriti ini, yang pasti hakikatnya keputusan kerajaan yang telah menguatkuasakan perintah PKP dan darurat tetap telah memberi kesan terhadap rakyat seluruh negara.

Sekiranya kenyataan KP Kesihatan tersebut adalah sahih, maka kerajaan seharusnya melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas segera terhadap KP Kesihatan atas kenyataan beliau yang menunjukkan kegagalan pengurusan yang serius hingga mengelirukan rakyat serta telah menyebabkan imej kerajaan tercalar. Malah penarafan tertinggi penjagaan kesihatan yang sedang diungguli oleh Malaysia boleh terjejas.

Sekiranya apa yang dinyatakan oleh KP Kesihatan tersebut adalah tidak benar, maka Muhyiddin seharusnya segera membatalkan perintah darurat. Ini kerana perintah tersebut dibuat berdasarkan penilaian data yang salah. Sekiranya diteruskan darurat ini, maka ia hanya dianggap sebagai satu keputusan demi mengelakkan kehilangan kuasa akibat tidak memiliki cukup sokongan.

Harus juga diingati, sekiranya perintah PKP dan darurat ini berpunca daripada kegagalan yang telah dinyatakan oleh KP Kesihatan tersebut, maka penganiayaan terhadap seluruh rakyat dalam negara ini telahpun berlaku. Penganiayaan kepada frontliner, individu yang telah dikompaun, golongan yang tidak boleh keluar langsung mencari rezeki, golongan yang terjejas punca pendapatan serta pelbagai lagi masalah yang telah masing-masing lalui.

Kesimpulannya, kerajaan PN telah berulang kali melakukan pelbagai kegagalan. Adakah layak untuk kerajaan PN ini terus diberikan peluang kembali di PRU15 kelak?

Walhal kelihatannya sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh diharapkan untuk membantu rakyat atau mengatasi pendamik. Hampir setiap kali bancian yang dibuat oleh pelbagai pihak hanya hasilkan keputusan penolakan terhadap PN ini. Bak kata pepatah Melayu moden “kroni didahulukan, rakyat diabaikan”.

COMMENTS