Kegagalan bekal 6 kapal tempur , PAC akan panggil Zahid Hamidi

Kegagalan bekal 6 kapal tempur , PAC akan panggil Zahid Hamidi

Bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil sebagai salah seorang saksi pada prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) susulan kegagalan pembekalan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) pada Januari.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata kegagalan menyiapkan aset tentera laut itu amat serius kerana bukan hanya membabitkan kegagalan tadbir urus, perolehan dan kewangan tetapi turut memberi impak terhadap keselamatan negara.

Saksi lain yang akan dipanggil ialah bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar, dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), kontraktor utama projek itu.

“PAC Parlimen juga akan menjalankan lawatan tapak pembinaan LCS di Lumut, Perak. Pelantikan kontraktor utama iaitu BNS yang dilakukan secara rundingan terus.

“Sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion sudah dibayar dan tidak ada sebuah pun kapal yang siap dibina. Mengikut jadual sepatutnya dua buah LCS telah siap dibina,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.

Isnin lalu, Dewan Rakyat diberitahu Kabinet menolak penyelesaian pertama berhubung isu kelewatan pembinaan LCS iaitu dengan melantik firma Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit kapal tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kini tinggal dua lagi pilihan sama ada projek tersebut diserahkan kembali kepada BNS untuk diteruskan dengan pemberian RM3 bilion lagi atau menamatkan terus kontrak berkenaan.

Tambah Wong, setakat ini sebanyak empat mesyuarat dan prosiding dengan saksi-saksi selesai dilakukan sejak November lalu.

Jelasnya, antara yang dipanggil ialah Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Setiausaha Pertahanan, Muez Abdul Aziz.

“PAC berhasrat melengkapkan dan membentangkan laporan berhubung isu ini ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen Mac 2021,” ujarnya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/17/lewat-bekal-kapal-tempur-pac-akan-panggil-zahid/