Kecoh tiba-tiba Chow Kit sesak dengan pengunjung, rupanya ini 2 individu yang datang.
Kedatangan Presiden Indonesia Joko Widodo pada sesi santai dan ramah mesra di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur hari ini
Disambut meriah terutamanya warga Indonesia yang mengambil peluang untuk melihat dari dekat wajah pemimpin mereka.
Kehadiran pemimpin republik berkenaan yang lebih dikenali sebagai Jokowi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memperlihatkan keakraban mereka berdua sekali gus mampu mengeratkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin turun menyantuni orang ramai termasuk peniaga di kawasan Jalan Raja Alang menuju ke pasar Chow Kit.
Sejurus ketibaan Jokowi dan Anwar pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari, kedua-dua pemimpin negara itu melakukan lawatan di pasar basah itu dengan laungan “Bapak Jokowi” sesekali bergema di lokasi berkenaan.
Beberapa warga Indonesia yang teruja melihat Jokowi juga menyanyikan lagu kebangsaan “Indonesia Raya” sebagai simbolik kebanggaan mereka dengan kehadiran kunjungan beliau serta beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di Pasar Chow Kit.
Sepanjang lawatannya itu, para peniaga serta pengunjung mengambil kesempatan untuk bersalaman, merakamkan video dan berswafoto dengan kedua-dua pemimpin negara itu.
Orang ramai teruja ingin melihat dari dekat Presiden Jokowi bersama PM Anwar yang melawat ke Chow Kit, Kuala Lumpur pada 8 Jun 2023.
Sesi santai dan ramah mesra itu diadakan bersempena dengan lawatan kerja Jokowi ke Malaysia selama dua hari yang bermula semalam.
Dalam lawatan kerjanya, Jokowi juga dijadualkan menghadiri majlis santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang ini.
Terdahulu Jokowi dan Anwar telah menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang ditandatangani wakil kementerian serta agensi berkaitan dari kedua-dua negara di Seri Perdana, Putrajaya, pagi tadi.
Antara perjanjian yang ditandatangani ialah Perjanjian Lintas Sempadan Antara Malaysia dan Indonesia, Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi.
Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah pada Ogos 2019 selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April 2019.
Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (AS$29.55 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (AS$22.98 bilion) pada tahun sebelumnya.
Sumber: https://harapandaily.com/orang-ramai-bersesak-ingin-lihat-dari-dekat-pm-anwar-iringi-jokowi-ke-chow-kit/
BACA:
Budak leka main layang-layang terjumpa duit dalam longkang! Sekali lain pula yang jadi