Kecoh PM lanjutkan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, sekali Anwar jawab sebabnya.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan melanjutkan kontrak Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini kerana, katanya, beliau berpuas hati dengan prestasi Azam.
“Dari segi kerja, saya bagi kelonggaran dan wewenang sepenuhnya kepada SPRM dan juga peguam negara untuk menjalankan tugas.
“Dan setakat ini, saya lihat mereka jalankan tugas dengan memuaskan,” katanya pada sidang media di sini.
Rabu lalu, kerajaan mengumumkan kontrak Azam dilanjutkan setahun lagi. Kontraknya sepatutnya tamat pada 12 Mei.
Tetapi, keputusan itu dikritik Muda Selangor yang menyatakan ironi lanjutan kontrak itu kerana pemimpin Pakatan Harapan menyertai perhimpunan #TangkapAzamBaki pada Januari tahun lalu susulan kontroversi Azam memiliki saham berjuta ringgit.
Azam dilantik mengetuai SPRM pada 9 Mac 2020, susulan peletakan jawatan Latheefa Koya selepas kejatuhan kerajaan PH.
Pada akhir 2021, Azam menjadi tumpuan media susulan dakwaan beliau memiliki saham dan waran dalam syarikat senaraian awam.
Beliau menafikan sebarang salah laku, tetapi beberapa kumpulan pemantau dan pemimpin PH menggesa siasatan dijalankan ke atasnya.
Azam turut dilaporkan disoal siasat tiga jawatankuasa SPRM berhubung perkara itu.
Tetapi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, isu itu selesai selepas Suruhanjaya Sekuriti memutuskan tiada kes.
BACA:
Air sungai Kuala Muda surut, Sanusi harap kerjasama Pulau Pinang