Kecoh kedai runcit letak produk daging babi dan halal di rak yang sama. Mencampuradukkan produk makanan tidak halal seperti daging babi bersama produk halal lain di satu tempat atau rak sama dalam sebuah kedai.
Itu antara kesalahan yang dikesan Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri dalam serbuan di dua buah kedai serbaneka yang menjual produk makanan import popular dari beberapa negara termasuk Korea Selatan dan Jepun di Jalan Raja Uda di sini hari ini.
Ketuanya, Mohd. Wazir Khalid berkata, sehubungan itu, pihaknya menasihatkan pemilik kedai serbaneka tersebut membuat pengasingan segera agar tidak mengelirukan pengguna.
“Pengguna mungkin tidak tahu makanan di sini ada yang telah bercampur (diletakkan di tempat yang sama). Pada masa sama, isu ini juga melibatkan soal sensitiviti terutamanya kepada pengguna Muslim,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, pihaknya turut mengeluarkan empat kompaun bernilai hampir RM15,000 kepada pemilik di kedua-dua buah kedai serbaneka tersebut atas kesalahan berkaitan pelabelan.
Pada masa sama katanya, kira-kira 400 unit produk yang tidak mempunyai alamat pengimport serta tidak mengandungi sebarang maklumat yang ditulis dalam Bahasa Melayu atau Inggeris bernilai RM1,500 turut disita.
“Kesemua kompaun ini dikeluarkan di bawah Peraturan 10 dan 11 Akta Makanan 1985 iaitu berkaitan kesalahan pelabelan.
“Semua makanan ini juga kita rampas dan akan mohon pelupusan,” katanya yang turut menasihatkan pemilik kedai serbaneka tersebut supaya melabel produk yang dijual untuk memudahkan pengguna ketika membeli.
Tambah Mohd. Wazir, pihaknya tidak menolak kemungkinan makanan yang tidak dilabel itu dibawa masuk ke negara ini secara haram atau tidak sah.
“Kita tak nafikan perkara itu sebab terlalu banyak makanan import seperti dari Korea (Selatan) yang masuk ke negara ini secara pukal. Apabila didaftarkan pula, hanya satu atau dua produk saja, walhal, banyak (produk) makanan lain ada di dalamnya,”
BACA:
Tular video amalan khurafat di Gunung Jerai, jabatan agama ambil tindakan
Presiden Bank Dunia sahkan dunia di ambang kemelesetan ekonomi
Selangor tambah jumlah ayam kepada 20,000 ekor sehari mulai Jun