Tular sebuah kejadian di media sosial Xiaohongshu, di mana seorang pelancong China meluahkan rasa kecewa
Mengenai pengalaman buruknya semasa melancong ke Malaysia dan ‘taubat’ tidak mahu datang ke negara ini lagi.
Pelancong ini kecewa selepas menghadapi kesukaran dengan ketiadaan papan tanda dalam bahasa Cina dan masalah memahami bahasa Inggeris tempatan.
Pelancong China ini berkongsi pengalaman yang mengecewakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa mahu membeli tiket KLIA Ekspres.
Perkhidmatan KLIA Ekspres menyediakan sambungan terus tanpa henti dari KLIA ke Kuala Lumpur Sentral dengan harga RM55 untuk seorang dewasa.
Namun, pelancong tersebut menyangka harga tambang adalah RM8.50 untuk perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur.
Harga tersebut sebenarnya adalah untuk KLIA Transit, sebuah perkhidmatan berbeza yang berhenti di beberapa stesen dengan tambang yang lebih rendah.
Oleh kerana kurang faham tentang sistem tiket tersebut, dia meminta bantuan daripada seorang kakitangan.
Walaupun dibantu untuk membuat pembayaran, dia terkejut apabila jumlah yang perlu dibayar adalah RM110 untuk dua tiket KLIA Ekspres.
Lebih mengecewakan, pelancong tersebut menyatakan bahawa jika dia mengetahui harga tambang terlebih dahulu, dia lebih rela menggunakan Grab ke pusat bandar dengan kos yang sama.
“Saya hampir tidak memahami bahasa Inggeris, dan sebutan orang tempatan sukar untuk saya fahami. Saya salah faham ia adalah perkhidmatan yang murah, tetapi rupanya adalah laluan ekspres yang mahal,” katanya.
Tambahnya lagi, dia kecewa kerana tidak berjumpa dengan kakitangan KLIA yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.
Dia juga cuba mendapatkan bayaran balik, tetapi gagal kerana halangan bahasa.
Kecewa dengan apa yang disifatkan sebagai layanan yang kurang memuaskan, pelancong ini membuat laporan polis, namun diberitahu bahawa ia bukan perkara yang boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Hantaran tersebut dengan mendapat perhatian netizen Malaysia, dengan pelbagai reaksi dan komen.
Ada yang simpati dengan pengalaman pelancong ini, sementara ada juga yang menegaskan bahawa sebagai pelancong, dia perlu lebih bersedia dan memahami sistem tempatan.
Isu ketiadaan papan tanda dalam bahasa Cina juga mencetuskan perbincangan hangat, terutamanya dalam konteks negara pelbagai budaya seperti Malaysia.
BACA: ‘Baik dekat sekolah tapi setan dekat luar’ Pelajar cemerlang punca remaja 15 tahun hamil