KDN haramkan ‘punai’, ini sebabnya

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Novel Punai karya Asyraf Bakti kini menjadi topik hangat dalam kalangan penggemar sastera tempatan setelah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Larangan terhadap buku ini membuka perdebatan mengenai sejauh mana kebebasan seni harus dibatasi atau dibiarkan berkembang mengikut tafsiran individu.

Amir Muhammad, pengasas penerbitan Fixi, yang menerbitkan karya ini pada tahun 2022, melihat Punai sebagai sebuah novel komedi parodi yang penuh dengan humor.

“Saya ketawa beberapa kali semasa membaca manuskripnya. Namun nampaknya KDN tidak merasakan humor yang sama,” ujar Amir ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, larangan ini menggambarkan betapa subjektifnya seni, kerana ia boleh ditafsirkan secara berbeza oleh setiap individu.

KDN haramkan 'punai', ini sebabnya

Menurut Amir, novel Punai diilhamkan daripada karya penulis Indonesia, Eka Kurniawan, yang berjudul Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas yang diterbitkan pada 2014. Kedua-dua karya ini menggali tema mengenai masalah lelaki yang menghadapi isu tenaga batin.

Pada 19 Disember lalu, KDN mengumumkan perintah larangan terhadap enam buah buku, termasuk Punai, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Larangan ini dikeluarkan dengan alasan kandungan buku-buku tersebut berpotensi merosakkan nilai moral masyarakat.

Selain Punai, lima buku lain turut dikenakan larangan, termasuk A Million Kisses In Your Lifetime oleh Monica Murphy, Lose You To Find Me oleh Erik J. Brown, Scattered Showers oleh Rainbow Rowell, When Everything Feels Like The Movie oleh Raziel Reid, dan What If It’s Us oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra.

Menurut KDN, larangan ini dilakukan berdasarkan prinsip kawalan dan pencegahan sebelum ancaman terhadap masyarakat berlaku. “Tindakan ini juga bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahan bacaan yang tidak sesuai untuk dikonsumsi umum,” jelas kenyataan KDN.

KDN turut memberi amaran kepada individu yang terlibat dalam penerbitan buku-buku terlarang bahawa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang. Berdasarkan subseksyen 8(2) Akta 301, sesiapa yang terlibat dalam mencetak, mengedar, atau memiliki buku terlarang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya.

Kenyataan KDN turut menyebut bahawa kerajaan berkomitmen untuk terus menguatkuasakan undang-undang dalam mengawal selia penerbitan dan mesin cetak, khususnya untuk mencegah penyebaran fahaman atau gerakan yang bertentangan dengan nilai budaya tempatan, demi keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.