Kaya ada duit tapi sengaja tak bayar ansuran kereta, rupanya ini ramai orang kaya selalu buat

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Setiap kali melihat iklan mengenai kereta dilelong, mungkin ada yang menyangka pemiliknya tidak mampu membayar ansuran bulanan pinjaman bank sehingga mempunyai tunggakan.

Namun, sangkaan itu ternyata silap kerana golongan kaya raya juga ramai yang berdepan dengan tindakan kenderaan mereka dilelong.

“Menurut pengalaman saya, tidak semua pemilik kereta yang dilelong itu sengkek atau tidak ada duit untuk bayar pinjaman. Ada juga yang kaya raya, duit banyak.

“Mereka mungkin sudah bosan dengan kereta dan terlalu sibuk untuk menguruskan penjualan kereta. Jadi

,mereka tidak membayar pinjaman selama beberapa bulan dan mengharapkan bank akan menarik dan melelong kereta tersebut,

Kaya ada duit tapi sengaja tak bayar ansuran kereta, rupanya ini ramai orang kaya selalu buat

” dedah seorang ejen hartanah lelong dalam satu perkongsian di Facebook.

Ejen lelong tersebut, Muhammad Ishaq N Marazi, berkongsi bahawa biasanya pemilik kereta yang dilelong adalah ahli perniagaan yang mengusahakan bisnes yang mengikuti trend dan tidak bertahan lama di pasaran.

Mesra disapa Ishaq, katanya, mereka seharian memberi tumpuan untuk menjana pendapatan dan menguruskan penjualan balik kereta dianggap sebagai pembaziran masa.

“Mereka akan membiarkan geng repo (penunda kereta) menarik dan bank akan menguruskan pelupusan kereta (lelong). Bank akan mengupah geng repo, warehouse, dan pelelong untuk melelong kenderaan tersebut.

“Pemilik tidak perlu melakukan apa-apa. Hanya perlu gagal bayar pinjaman, dan itu sahaja. Cuma jika harga lelong lebih rendah daripada baki pinjaman, mereka perlu membayar perbezaan kepada bank.

“Mereka ada banyak duit, jadi tidak kisah. Selepas membuat bayaran penuh, rekod CCRIS (Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit) akan bersih dalam masa sebulan,” katanya ketika dihubungi mStar.

Ejen berusia 35 tahun itu menjelaskan bahawa pengurusan kenderaan lelong lebih pantas kerana tidak melibatkan peguam dan pejabat tanah. Jelasnya, ia hanya melibatkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Prosesnya boleh selesai dalam masa kurang dari sebulan. Hartanah pula memerlukan masa yang lebih lama, biasanya antara tiga hingga enam bulan.

“Berdasarkan pengalaman, harga asal kereta yang dilelong yang paling mahal adalah Lamborghini Gallardo Superleggera 5.2 model 2012, iaitu RM2 juta dan dilelong pada harga RM200,000 pada 2023,” ujar anak kelahiran Kelantan itu.

Dengan pengalaman dalam bidang lelongan hartanah selama 10 tahun, Ishaq menjelaskan bahawa dia hanya memberikan panduan kepada klien untuk membeli sendiri kenderaan lelong.

“Saya ejen hartanah lelong, tapi ramai pelajar saya membeli kereta lelong yang masih baru. Mileage pun tak sampai 2,000 kilometer (km).

“Saya ajar langkah-langkahnya sehingga mereka mendapat geran dan saya bekalkan senarai kenderaan lelong di seluruh Malaysia. Ada beribu unit setiap bulan,” katanya.

Bukan semua pemilik asal kenderaan tidak mampu membayar ansuran bulanan pinjaman bank.

Mengulas lanjut, katanya, kliennya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelabur dan flipper (golongan yang membeli harga lelong dan menjual pada harga pasaran).

“Ada yang membeli dan menjual motosikal lelong. Ada juga yang mencari supercar dan sportcar. Terdapat kes di mana pemilik baru membeli kereta dan selepas enam bulan sudah dilelong.

“Mereka tidak membayar dari bulan pertama. Biasanya ini kes full loan. Tapi tidak tahu apa masalah yang dihadapi, mungkin sakit selepas mendapat kunci, tidak dapat kerja atau dibuang kerja,” ujarnya lagi.

Ishaq berpengalaman dalam bidang hartanah lelong selama 10 tahun.

Selain tidak mahu menguruskan penjualan balik kereta, kata Ishaq, segelintir ahli perniagaan juga terpaksa membiarkan kenderaan milik mereka dilelong kerana menghadapi masalah kewangan, bisnes, atau keluarga.

Mengenai hartanah pula, Ishaq turut mendedahkan mengenai trend segelintir figura terkenal yang membiarkan kediaman mereka dilelong.

“Saya pernah bertemu dengan rumah usahawan dan artis terkenal satu Malaysia, dan mereka membiarkan rumah banglo dilelong kerana tidak mahu menjual di pasaran subsale dan tidak mahu orang tahu.

“Apabila dijual di pasaran subsale, ejen hartanah akan berusaha memasarkan sehingga semua orang tahu. Mereka pula tidak mahu orang tahu, jadi mereka memilih untuk membiarkan bank melelong sahaja banglo mereka,” katanya tanpa mendedahkan identiti figura terkenal tersebut.

BACA: ‘Suami luah tak bahagia dengan aku, dia suruh aku cermin diri, dia rimas tengok aku serabai, tak cantik macam dulu’