Kawal harga sewa, Akta Sewaan Kediaman kini di peringkat persediaan – Menteri

Kawal harga sewa, Akta Sewaan Kediaman kini di peringkat persediaan – Menteri

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam proses menggubal Akta Sewaan Kediaman bagi mengawal harga dan sewaan rumah di negara ini, kata menterinya Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, akta itu dijangka dibentang di Parlimen pada suku pertama 2022.

Katanta, akta itu juga akan mengambil kira kepentingan pemilik tanah dan penyewa, selain memastikan pemilik tidak sewenang-wenang menaikkan harga sewa atau mengusir penyewa.

“Akta Sewaan Kediaman kini di peringkat persediaan. Jangkaannya ia akan dibawa ke Parlimen pada persidangan suku pertama 2022.

“Akta ini akan memberikan perlindungan kepada penyewa,” katanya kepada FMT.

FMT sebelum ini melaporkan perantau ibu kota terpaksa memilih ‘bilik sempit bertaraf stor’ kerana sewa rumah di Kuala Lumpur dan persekitaran Lembah Klang mahal.

Menurut penyewa terbabit, kebanyakan rumah di kawasan bandar Kuala Lumpur sukar diperolehi dengan kadar sewaan kurang daripada RM1,200 sebulan.

Ini kata mereka, ditambah pula dengan bayaran pendahuluan yang dikenakan pemilik yang terlalu mahal sehingga mencapai empat dan lima bulan harga sewaan.

Sehubungan itu Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia berkata, sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan akta khusus untuk mengawal semua harga berkaitan bilik dan rumah sewa bagi menghalang pihak terbabit mengambil kesempatan megenakan harga sewaan yang “tinggi menggila”.

Selain itu, akta berkenaan boleh menetapkan kadar sewaan yang munasabah mengikut jenis rumah dan kawasan premis sewaan .

Ketua Penyelaras Pusat Sumber untuk Memajukan Masyarakat dan Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad pula menyarakan supaya kerajaan memperbanyakkan program rumah sewa seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu rakyat, termasuk perantau ibu kota memiliki tempat tinggal selesa.

Katanya, bagi memenuhi tuntutan itu dalam tempoh singkat, kerajaan boleh membeli rumah projek syarikat swasta untuk disewakan kepada rakyat secara bersubsidi. – FMT

COMMENTS