“Kata jadi ‘mangsa’ tapi bayar kompaun RM1.1 juta”.Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan mendakwa dirinya menjadi “mangsa” ketiadaan akta dana politik sehingga terpaksa membayar kompaun RM1.1 juta bersabit pertuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta.
Beliau bersyukur apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, membebaskannya atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan menerima wang RM2 juta daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas membayar kompaun itu.
“Saya adalah mangsa kerana akta dana politik tidak diakta. Mujur semalam saya dibebaskan dan dilepaskan tapi kena bayar kompaun,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.
Penjelasan Ahmad dipertikai Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanya rasional Setiausaha Agung Umno itu bersetuju dikompaun sekiranya beliau adalah “mangsa”.
“Kalau mangsa kenapa nak bayar kompaun RM1.1 juta?” soal Poay.
Ahmad kemudian menjelaskan beliau ditawarkan kompaun pada Oktober 2019, namun memilih untuk membela diri di mahkamah ketika itu.
“Saya telah ditawarkan kompaun, apabila saya ditawarkan kompaun pada Oktober 2019, saya lawan kerana ada yang dikompaun dapat RM50,000 (tetapi) dikompaun 50 kali ganda oleh SPRM.
“Saya rasa Langkawi (bekas Perdana Menteri zaman PH, Dr Mahathir Mohamad) pada ketika itu pun tidak tahu tentang perkara ini. Ada orang yang terima RM100,000 dikompaun 25 kali ganda, maka saya lawan ketika itu.
“Tapi saya lihat lambat sangat proses (mahkamah), jadi saya mengaku kepada SPRM saya terima RM1.1 juta. Saya tidak mengaku saya terima RM2 juta kemudian… tanya kepada Ahli Parlimen Pekan (Najib Razak), dia mengesahkan saya terima RM1.1 juta. Apabila (disahkan) … dan oleh kerana saya telah membayar kompaun maka saya dilepas dan dibebas,” katanya.
Ahmad berkata, keputusan dibuat oleh mahkamah semalam perlu dihormati.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan Ahmad, Poay sekali lagi bangkit mencelah sebelum dihalang Speaker Dewan Rakyar, Azhar Azizan Harun, yang memberi amaran kepadanya supaya tidak mengganggu lagi ucapan perbahasan Ahli Parlimen Pontian itu.
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/30/saya-mangsa-akta-dana-politik-kata-ahmad-maslan/