KANUN tawar khidmat guaman bantu ustaz ebit lew bersihkan nama

KANUN tawar khidmat guaman bantu ustaz ebit lew bersihkan nama

KANUN mengikuti perkembangan mutakhir ini berkaitan pertembungan pelbagai aliran agama di Malaysia sehingga menimbulkan keresahan masyarakat dan pandangan serong orang ramai terhadap ilmuwan agama. Beberapa hari lepas tular kisah Ustaz Ebit Lew yang telah memberikan sumbangan kepada seorang warga emas dan keluarganya di Derga, Kedah Darul Aman.

Tanpa menafikan ada pendekatan tertentu yang boleh diperbaiki oleh Ustaz Ebit Lew, tindakan Ustaz Ebit Lew yang membantu orang kesusahan tanpa mengira agama dan bangsa adalah satu tindakan yang terpuji dan patut dicontohi. Tindakannya juga adalah selaras dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang menjadi tonggak perjuangan Parti Amanah Negara.

Malang sekali, ada beberapa pihak termasuk insan yang berpendidikan agama yang telah mengeji Ustaz Ebit Lew dan melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah yang tidak berasas termasuk melemparkan tuduhan kononnya bahawa berlaku penyelewengan terhadap sumbangan orang ramai kepada Ustaz Ebit Lew.

KANUN menyarankan bahawa jika pihak tersebut mempunyai bukti yang cukup kononnya terdapat penyelewengan pada wang sumbangan tersebut, beliau perlu membuat laporan polis supaya siasatan lanjut boleh dibuat oleh pihak berkuasa.

Malangnya, tuduhan yang mengatakan wujud penyelewengan itu setakat ini tidak mempunyai apa-apa asas dan terjumlah atas kausa tindakan fitnah (defamation). Menurut undang-undang, sesuatu tuduhan itu dianggap fitnah sekiranya cukup tiga elemen penting iaitu, tulisan atau kata-kata itu merujuk kepada plaintif; ianya telah didedahkan kepada pihak ketiga; dan, tulisan atau kata-kata itu adalah palsu dan menjatuhkan reputasi plaintif.

Justeru, KANUN dengan rendah diri menawarkan kepakaran panel guaman KANUN untuk membantu Ustaz Ebit Liew bagi membersihkan nama baik beliau dan organisasi NGO yang beliau wakili.

Dr. Zulqarnain Lukman
Pengerusi KANUN (Biro Undang-Undang)
Parti Amanah Negara
23 April 2020
Sumber:

COMMENTS