KANUN kecam tindakan polis terhadap Hannah Yeoh hanya kerana tanya soalan

KANUN kecam tindakan polis terhadap Hannah Yeoh hanya kerana tanya soalan

KANUN sekerasnya menyatakan kecaman dan bantahan apabila YB Hannah Yeoh yang juga mantan Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga dipanggil oleh polis ke Bukit Aman berkaitan kicauan Twitternya yang hanya mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang merupakan inisiatif dan iltizam kerajaan PH dahulu.

KANUN berpandangan bahawa pertanyaan dan persoalan berkaitan status inisiatif kerajaan yang terdahulu adalah perkara normal dan seharusnya digalakkan khususnya dalam isu wanita dan kanak-kanak. Rakyat sudah tentu berhak untuk mendapat tahu apakah “stand” KPWKM sekarang berkaitan perkara ini memandangkan isu perkahwinan kanak-kanak di bawah umur adalah suatu isu yang penting bagi melindungi hak kanak-kanak. Tambahan pula, Pelan Strategi yang diketengahkan oleh KPWKM semasa era pemerintahan PH adalah untuk mengekang punca perkahwinan bawah umur.

Adalah jelas bahawa persoalan yang ditimbulkan bukanlah suatu yang membahayakan mahupun boleh menimbulkan khianat awam sehingga beliau dibawa siasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksesaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sepatutnya sebagai Menteri/Timbalan Menteri, tugas mereka adalah perlu perjelaskan status Pelan Strategi ini dan bukannya merasa tercabar lantas memanggil siasat atas kicauan yang dihantar oleh YB Hannah Yeoh.

Hak kanak-kanak serta perlindungan hak kanak-kanak sepatutnya menjadi iltizam KPWKM untuk menjaganya daripada terus dieksploitasi oleh mana-mana pihak termasuklah ibu, bapa dan penjaga. Isu ini seharusnya menjadi isu rentas parti politik. Tambahan lagi, yang menakhodai KPWKM itu adalah wanita dan ibu. Inisiatif untuk mengekang perkahwinan bawah umur ini haruslah ditatang oleh KPWKM.

Sebagai seoarang Mantan Timbalan Menteri KPWKM dan seorang ibu, Hannah Yeoh berhak menyuarakan keprihatinan beliau terhadap status Pelan Strategi yang dirangka dahulu. Rakyat dan kaum ibu di luar sana juga berhak untuk tahu status Pelan Strategi tersebut.

Amat malang sekiranya isu hak dan kepentingan wanita pun dijadikan ancaman terhadap kerajaan yang hanya akan merugikan pembangunan wanita itu sendiri.

Fatihah Salahuddin
Ahli Jawatankuasa
Biro Undang-Undang (KANUN)
PARTI AMANAH NEGARA

Sumber :

COMMENTS