Fenomena banjir yang melanda negara ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan kepada harta benda
Tetapi boleh juga menjadi punca tersebarnya penyakit berjangkit hingga kehilangan nyawa.
Itulah antara kerisauan dibangkitkan orang ramai selepas menonton satu rakaman tular memaparkan
kanak-kanak mengambil kesempatan untuk bermandi-manda di jalan yang sudah dinaiki air banjir.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di tengah bandar Kelantan berdasarkan kapsyen ‘Kota Bharu Waterpark’ yang ditulis oleh pemilik rakaman dikongsikan di platform TikTok itu.
Rakaman berdurasi 21 saat itu memperlihatkan beberapa orang kanak-kanak menjadikan jalan dinaiki air tersebut seperti taman tema malah ada juga yang mencelupkan kepala ke dalam ‘kolam renang’ tersebut.
Para ibu bapa juga dilihat berada berdekatan menemani anak untuk menjaga keselamatan sambil memberikan peluang kepada mereka merasa keseronokan bermandi-manda dengan air banjir.
Namun, tidak semua orang melihat situasi ini dengan cara yang sama lebih-lebih lagi air banjir keruh dan kotor boleh memberi kesan memudaratkan kepada kesihatan kanak-kanak.
“Mandi dekat taman tema pun kanak-kanak boleh kena penyakit Rota Virus. Inikan pula air banjir,” kata seorang pengguna meluahkan kerisauan selepas melihat rakaman tersebut.
“Awas dengan kanak-kanak. Takut mereka kena penyakit berjangkit bawaan air seperti protozoa parasit (pembawa sel tunggal boleh menyebabkan penyakit malaria). Air banjir itu datang dari longkang dan loji kumbahan yang melimpah.” Kongsi pengguna lain.
Sekadar info, bandar Kota Bharu kini sudah dinaiki air sedalam kira-kira dua meter berikutan air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja melimpah sejak 12 tengah malam tadi dan menunjukkan trend menaik.
Jumlah mangsa banjir di negeri Pantai Timur itu juga semakin bertambah apabila seramai 80,163 orang telah dipindahkan ke 279 pusat pemindahan sementera (PPS) di seluruh negeri pada jam 7 pagi, Sabtu.
Jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan mangsa tertinggi seramai 24,890 orang, diikuti Tumpat (13,429), Kota Bharu (10,885), Pasir Puteh (8,372), Kuala Krai (5,865), Machang (5,734), Bachok(5,481), Tanah Merah (4,837), Jeli (639) dan Gua Musang (31).
Sementara itu 10 sungai di Kelantan sudah berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Lanas (Jeli), Sungai Kelantan (Kursial Baru, Tanah Merah), Sungai Kelantan (Kursial,Tanah Merah), Sungai Kelantan (Temangan,Machang), Sungai Golok (Rantau Panjang), Sungai Kelantan
(Tambatan Diraja, Kota Bharu), Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat), Sungai Melor di Jambatan Melor (Bachok) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh).
Baca juga:13 juta data peribadi pengguna Malaysia bocor dalam laman dark web