Kami berusaha sedaya upaya mencari titik persamaan, namun masih tidak berjaya

Kami berusaha sedaya upaya mencari titik persamaan, namun masih tidak berjaya

Kami ingin memberi kenyataan respon kepada PKR yang sebelum ini telah mengumumkan menolak pilihan kedua untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, dengan peralihan kuasa kepada Anwar selepas tempoh 6 bulan. Ini berikutan Warisan dan Tun menolak pilihan pertama untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kedua-dua pilihan ini dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei 2020.

Kami konsisten menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia sejak 1998 dan akan terus berbuat demikian. Dengan latar senario politik semasa, satu-satunya pilihan yang realistik untuk berjaya adalah dengan menggabungkan kekuatan kesemua lima parti iaitu PKR, Amanah dan DAP daripada Pakatan Harapan serta Warisan dan kelompok penyokong Tun Mahathir dalam Bersatu. Perjalanan politik ini telah mengambil masa 22 tahun, justeru kita mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Datuk Seri Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia. Peralihan 6 bulan ini akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani kesemua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka.

Walaupun Tun Dr Mahathir, Warisan dan PKR tidak dapat saling bersetuju, kesemua parti dalam Pakatan Harapan, Warisan dan kelompok Tun Dr Mahathir mesti mencari titik persamaan untuk menuntut kembali mandat yang telah diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018. Ini adalah sebuah perjuangan suci untuk mendaulatkan demokrasi serta nilai undi jutaan rakyat Malaysia yang memilih untuk menukar kerajaan bagi menyinhkirkan pentadbiran yang korup dan kleptokratik, melibatkan puluhan bilion Dolar Amerika. Usaha-usaha masih berjalan untuk memulangkan wang yang telah hilang walaupun pengguguran pertuduhan terhadap mereka yang terlibat dalam kehilangan wang tersebut ternyata menjadi halangan.

Dalam usaha menghormati mandat pilihan raya yang diberikan rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU 2018, ada pihak mengambil peluang melabel kami sebagai gila kuasa. Kami telah dikritik kerana lambat bertindak menuntut kembali mandat rakyat, tetapi apabila laluan yang realistik ditemukan, kami dikritik pula kononnya gila kuasa. Ini tidak adil kerana walaupun kami tidak gentar menjadi pembangkang, rakyat telah mengundi pada tahun 2018 supaya kami mengambil alih kerajaan.

Kedua-dua DAP dan Amanah telah berusaha keras sepanjang tiga bulan lalu untuk mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak. Malangnya, usaha itu belum berjaya. Kami berharap PKR dan Tun, bersama-sama Warisan tidak akan semakin menjauh bahkan terus merapat dan bersatu-padu. Melihat masing-masing sebagai musuh dan bukan rakan sekutu tidak akan membantu perjuangan rakyat bahkan hanya membantu mereka yang telah menumbangkan sebuah kerajaan sah yang dipilih rakyat, dengan sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat. Hanya apabila kita dapat bersetuju, kita akan sama-sama dapat memastikan Pakatan Harapan dapat menuntut semula kerajaan milik rakyat ini.

Seperkara lagi, tidak patut ada sebarang urusan dengan watak-watak utama (bekas pemimpin PH) yang bertanggungjawab menumbangkan kerajaan sah Pakatan Harapan dan membolehkan kerajaan PN tanpa mandat ini berkuasa. Pengundi Pakatan Harapan tidak akan mengampunkan mereka yang telah mengkhianati amanah yang telah diberikan.

Kami memberi penghormatan kepada pemimpin PH, Warisan dan Bersatu yang telah berani berdepan ugutan dan godaan bagi menolak kerajaan PN yang tiada mandat ini. Kesemua parti-parti politik dan orang ramai menyokong serta bersetiakawan dengan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal bagi mengekang anasir-anasir pengkhianat daripada cuba menumbangkan kerajaan yang telah dilantik melalui pilihanraya.

Sebagai anggota Pakatan Harapan, kami akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dan jutaan yang telah mengundi untuk perubahan. Krisis ekonomi pasca Covid-19 adalah begitu dahsyat dari segi kesan negatifnya terhadap perniagaan dan kehilangan pekerjaan, maka kita mesti menjadi suara hati nurani rakyat dan pembela mereka demi memastikan dana kerajaan digunakan untuk membantu mereka, dan tidak tertiris akibat salah urus-tadbir.

Keperluan melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi serta kemarahan orang ramai terhadap kenaikan bil elektrik oleh Tenaga Nasional Bhd adalah gejala kegagalan kerajaan PN dalam menangani kesengsaraan rakyat akibat krisis ekonomi Covid-19.

Kami juga akan turut menggerakkan jentera parti untuk bersiap sedia berdepan kemungkinan pilihan raya mengejut, dan bekerjasama dengan semua parti politik yang menolak kerajaan PN.

Mohamad bin Sabu
Presiden Parti Amanah Negara

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP

COMMENTS