Hari ini, banyak gambar petikan surat khabar dengan tajuk “‘Admin WhatsApp’ boleh dipenjara” tersebar di kumpulan WhatsApp.
Ada yang menganggapnya sebagai gurauan dan ada juga yang serius mengenainya.
Isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Enam hari lalu, terdapat berita mengenai undang-undang baru di India
yang membolehkan pentadbir kumpulan WhatsApp didakwa dan dipenjara bagi mengelakkan penyebaran berita palsu di negara tersebut.
Oleh itu, admin WhatsApp di India perlu memantau apa yang dikongsi oleh ahli kumpulan.
Jika terdapat maklumat palsu, admin perlu menjelaskan bahawa maklumat tersebut salah dan mengeluarkan ahli tersebut dari kumpulan WhatsApp. Admin juga perlu melaporkan maklumat palsu tersebut kepada pihak berkuasa.
Di Malaysia, terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan admin WhatsApp dipenjara kerana kecuaian dalam menguruskan kumpulan tersebut, antaranya:
-Menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat keselamatan negara.
-Menyebarkan maklumat berunsur fitnah atau tidak sahih.
-Melakukan penipuan.
-Pendedahan komunikasi yang dilarang di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh admin WhatsApp?
Admin WhatsApp perlu memantau dan memastikan apa yang ditulis atau disebarkan oleh ahli kumpulan. Jika terdapat unsur seperti yang dinyatakan di atas, tegur ahli dan halang penyebaran maklumat tersebut.
Admin WhatsApp bertanggungjawab terhadap ahli kumpulannya dan berfungsi sebagai penjaga untuk menapis berita tidak sahih daripada terus tersebar secara meluas.
Susulan itu, ada admin WhatsApp yang telah memuat naik status seperti berikut di kumpulan yang mereka uruskan:
“Saya dan admin lain dalam kumpulan ini tidak membenarkan dan menyokong sebarang bentuk maklumat yang memaparkan kandungan pornografi, tidak benar, fitnah, hasutan, penipuan, atau paparan yang tidak sesuai, selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Segala maklumat yang dipaparkan oleh individu atau oleh saya dalam kumpulan ini bukan tanggungjawab saya, ia adalah tanggungjawab setiap individu dalam kumpulan ini.”
Ada juga pentadbir kumpulan WhatsApp yang telah menjadikan semua ahli kumpulannya sebagai admin kumpulan dengan harapan semua ahli akan lebih bertanggungjawab dan boleh bersama-sama menanggung sebarang masalah yang timbul.
Perlu diingat, jika anda menguruskan kumpulan di platform lain seperti Telegram, Facebook, WeChat, dan media sosial/internet yang lain, anda juga tidak terkecuali dari tindakan undang-undang yang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
BACA: ‘Maaf Encik, kami tak terima’ Lelaki berang bank tak terima tabung duit syiling anak