Kaji semula kadar potongan pemutuan padi yang tinggi – Dr Mujahid

Ahli Parlimen Parit Buntar , Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji semula kadar potongan bagi pemutuan padi yang tinggi.

“ ramai pesawah khususnya di Parit Buntar terbeban akibat pemotongan yang tinggi tersebut ditambah lagi dengan kos sara hidup kian meningkat.

“ Pesawah di sini juga mengalami kerugian akibat serangan padi ‘Bom’ atau bena perang yang memusnahkan padi dalam tempoh yang singkat, ditambah pula dengan kadar potongan jualan padi yang tinggi” katanya ketika bertemu dengan pesawah padi di Parit Mat Ali, Kuala Kurau

Dr Mujahid berkata, beliau akan membawa masalah pesawah padi ini kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani supaya kementerian dapat mengkaji semula kadar potongan bagi pemutuan padi yang tinggi.

“ Pihak kementerian perlu menyelesaikan masalah petani ini kerana isu ini bukan sekali berlaku tetapi berulang pada setiap musim tanaman padi.

‘ Pesawah tidak ada banyak pilihan melainkan mengusahakan padi di tanah tersebut demi menjamin jaminan bekalan makanan kita, maka selayaknya masalah mereka diselesaikan segera” katanya Dr Mujahid bersama Penyelaras DUN Kuala Kurau, Hamdan Fadel Ahmad dan Ketua Pemuda AMANAH Parit Buntar , Muhammad Nakhaei Abd Wahab bertemu pesawah padi di kawasan berkenaan bagi mendapat maklumat lebih lanjut berkenaan masalah berkenaan.

Wakil petani berkenaan, Mohd Rizal Ariffin, 36, berkata kadar potongan sehingga 30 peratus bagi setiap 100 kilogram (kg) padi amat merugikan petani.

“Walaupun harga padi naik, tetapi tidak menyelesaikan masalah kerana pemotongan gred padi yang tinggi.

“Kalau potongan gred terlalu tinggi, berapa yang kami dapat setelah menolak kos benih, baja, membajak, racun, sewa dan sebagainya,”katanya