Kadir Jasin dedahkan berapa lama Umno menguasai NSTP dan TV3

Kadir Jasin dedahkan berapa lama Umno menguasai NSTP dan TV3

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, tanya saya tentang New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Itu cerita lama. Boleh jadi dia lupa kerana pada waktu pembelian oleh pengurusan (MB0) itu dilakukan dia bukan orang utama dalam hierarki Umno.

Team MBO membeli dua syarikat itu daripada Renong Berhad pada tahun 1993 (bagi pihak Umno) dengan menggunakan MRCB sebagai SPV. Tiga daripada empat orang anggota pasukan MB0 meletakkan jawatan pada tahun 1998 dan saya sendiri pada tahun 2000.

Semua saham dalam syarikat induk iaitu Realmild Sdn Bhd kami serahkan kepada Pengarah Eksekutif masa itu, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, yang kemudian menyerahkannya kepada Tan Sri Nor Mohamed Yackop.

Nor Mohamed menyusun semula kumpulan itu dengan menjual MRCB dan RHB kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat penjana elektrik, Malakoff Berhad, kepada DRB-Hicom Berhad.

Nor Mohamed kekalkan NST dan TV3 sebagai milik Umno melalui syarikat induk Realmild Sdn Berhad. Pada zaman Najib, NSTP dan TV3 digabung menjadi Media Prima Berhad dengan saham-sahamnya dipegang oleh dua syarikat proksi iaitu Gabungan Kasturi dan Altima Sdn Bhd.

Setahun setelah Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum 2018, Umno akhirnya hilang pemilikan ke atas syarikat media itu. Tahun lalu, kawalan ke atas Media Prima dijual kepada syarikat berkaitan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Asal usul pemilikan Umno ke atas NSTP adalah apabila Almarhum Tun Abdul Razak Hussein mengarahkan supaya sebuah syarikat proksi Umno membeli kepentingan The Straits Times Press di Malaysia pada tahun 1972. Bendahari Umno ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah, menubuhkan sebuah syarikat induk bernama Fleet Sdn Bhd untuk tujuan itu.

Natijahnya, bapa bina anak runtuhkan.

Semua butir di atas ada dalam “public domain” dan boleh diakses oleh orang ramai.

Wallahuaklam.Terima kasih.

Sumber :