Kadar bil air melambung tinggi, MB Johor harus ambil tanggungjawab

Kadar bil air melambung tinggi, MB Johor harus ambil tanggungjawab

Menteri Besar Johor diminta menyelesaikan segera dakwaan kadar bil air di negeri Johor yang melambung tinggi yang kini mendapat perhatian pelbagi pihak khasnya melalui media sosial.

Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Tebrau, Mohd Abrary Ramly berkata Menteri Besar (MB) Johor Dato Ir Hasni Mohamed perlu mengambil langkah segera dalam menyelesaikan hal berkenaan harga air berkenaan.

“Kerajaan perlu segera menyemak berkenaan aduan rakyat di laman sosial yang mendakwa mereka terpaksa membayar harga air yang tinggi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

“Jelas MB Johor tidak cakna dalam permasalahan ini serta membiarkan perkara ini tergantung tanpa ada sebarang tindakan dari pihak kerajaan negeri Johor.

“Apa yang diharapkan agar semakan ini selesai tanpa ada sebarang kompromi yang memenangkan pihak tertentu serta membelakangkan rakyat,” tegasnya ketika dihubungi wartawan.

Beliau yang berkata selepas membaca ‘facebook’ berkenaan yang mempertikaikan harga air tersebut serta meluahkan perasaan berkenaan dengan kepimpinan MB di Johor.

Rata-rata netizen dalam ‘facebook’ berkenaan mempamerkan bil air mereka di ruangan komen dengan menyatakan terdapat kenaikan tiga kali ganda daripada kebiasaan harga yang mereka bayar sebelum ini.

Ada juga di antara komen yang mendakwa bahawa rumah yang mereka tinggalkan disebabkan PKP selama dua bulan didapati harga bil air yang mereka perlu bayar tinggi serta tidak munasabah sedang dakwanya tidak ada berlaku kebocoran paip di rumahnya.

Mengulas lanjut hal itu, Abrary menyatakan bahawa kerajaan perlu menyemak semula tentang perkara ini serta menstrukturkan semula harga air berkenaan.

Katanya, keadaan ini tidak patut terjadi kerana rakyat terbeban dalam keadaan yang sukar untuk mereka setelah menghadapi situasi PKP.

“Sekiranya perkara ini masih berterusan atau dibiarkan, ternyata kerajaan memang berlaku zalim kepada rakyat di negeri ini.

“Pemegang konsesi air Johor, Ranhill SAJ juga perlu menyemak semula caj penggunaan air kepada pengguna, kita tidak mahu berlaku sebarang penindasan dan caj tersembunyi serta kesilapan dalam bil air yang dikemukakan kpd rakyat Johor.

“Rakyat hari ini dalam kesusahan, justeru langkah keprihatinan kepada rakyat perlu diusahakan dengan bersungguh agar mereka tidak menjadi korban dari apa yang berlaku hari ini,” tegasnya lagi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/mb-johor-dipertikai-harga-air-yang-didakwa-zalim/

COMMENTS