Wisma Putra belum dapat mengesahkan kesahihan gambar tular yang menunjukkan dokumen pengenalan diri
Dan lesen memandu milik seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan ditemui di medan perang Ukraine-Rusia.
Kementerian Luar menyatakan bahawa pihaknya telah mengambil maklum tentang
laporan yang mengatakan MyKad dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dijumpai di Levadne, Zaporizhia.
“Pada masa ini, kami tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.
Maklumat itu telah disalurkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan lanjut.
“Kami dengan hormat memohon pihak media dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beberapa keping gambar, termasuk MyKad dan LMM Malaysia, telah tular di media sosial dan dikatakan ditemui selepas tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne. Terdapat juga dakwaan di media sosial bahawa ia milik seorang rakyat Malaysia, tetapi statusnya tidak dapat dipastikan sama ada terbunuh atau ditahan tentera Rusia.
Berdasarkan salah satu gambar yang tular, lesen memandu tersebut milik seorang individu beralamat di sebuah negeri di utara Semenanjung dan sah sehingga Februari 2025.
Pada Januari lalu, terdapat laporan media mengenai rakyat Malaysia yang didakwa menjadi askar upahan Rusia dalam perang Ukraine-Rusia, namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, telah menafikan dakwaan tersebut.
Dalam kenyataan yang sama, Kementerian Luar menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu.
“Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri,” tambahnya.
Sementara itu, Razarudin menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyemak kesahihan maklumat tersebut.
“Buat masa ini, PDRM sedang menyemak sama ada maklumat itu benar atau sebaliknya, dan kami juga berhubung dengan Kementerian Luar untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
BACA: Peguam Najib Razak dedah sebab bekas Perdana Menteri mohon maaf dengan rakyat Malaysia