Kabinet Ismail bakal jaga kepentingan Umno?

Kabinet Ismail bakal jaga kepentingan Umno? Wartawan veteran A Kadir Jasin mempersoalkan kemungkinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menubuhkan kabinet berdasarkan konsep “keluarga Malaysia” yang diumumkannya baru-baru ini atau berasaskan kepentingan kedudukannya dan Umno.

Kadir berkata demikian selepas tular gambar yang memaparkan rombongan ahli-ahli parlimen Umno menyertai lawatan rasmi bersama Ismail ke daerah yang dilanda banjir di Kedah semalam, menaiki pesawat kerajaan.

“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mendapat publisiti percuma besar-besaran apabila gambarnya bersenang-senang dengan kemewahan jawatan tular di media sosial semalam.

BACA JUGA : Baru sehari jadi PM, budaya Umno kembali semula

“Jadi sekarang kita tengok apa pula tindak-tanduknya dalam penubuhan kabinet. Adakah dia akan menubuhkan kabinet untuk berkhidmat kepada ‘keluarga Malaysia’ atau untuk mengukuhkan kedudukannya dan Umno.

“Namun begitu keabsahan dia dan kabinetnya tetap akan dipertikaikan selagi tidak diundi di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

‘Keluarga Malaysia’ merujuk kepada seruan Ismail kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk bersatu dan menggembleng tenaga memulihkan semula negara.

BACA JUGA : Presiden Umno senarai 5 kegagalan PN urus Covid-19

Dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri pada 22 Ogos lalu, dia mengajak pemimpin politik tanpa mengira latar belakang ideologi supaya mencari persamaan dan tidak lagi menggali perbezaan.

Mengulas lanjut peralihan kuasa dari pentadbiran di bawah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kepada Ismail yang juga merupakan naib presiden Umno, Kadir berkata mainan politik Muhyiddin bersama pihak separtinya – Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali tidak sehebat mainan politik kluster mahkamah dan kleptokrat dari Umno.

“Namun rasanya majoriti ahli Umno yang baik-baik tidak mahu kelompok kleptokrat dan mahkamah kembali berperanan dan berkuasa dalam parti mahupun kerajaan kerana mereka ini sudah menjadi beban. Bak kata simpulan bahasa, umpama menggalas biawak hidup.

BACA JUGA : Bicara kes rasuah, Zahid tak hadir kerana masuk hospital

“Kalau ketika Umno berkuasa pun, kelompok ini sudah menjadi beban sehingga parti itu kalah setelah lebih 60 tahun memerintah, apatah lagi sekarang apabila ramai di antara mereka sedang dibicarakan, sudah didapati bersalah atau dalam rayuan.

“Lagi pun usia mereka sudah cukup lanjut untuk dibersarakan supaya pemimpin yang lebih muda boleh mengambil alih,” katanya.

Bagaimanapun, Kadir mencadangkan pilihan terbaik dan termudah untuk Ismail adalah mengelakkan pelantikan di kalangan kluster mahkamah yang telah mencalarkan imej partinya sebelum ini.

BACA JUGA : Pakatan Harapan mahu satukan pembangkang dibawah ‘khemah besar’

“Lagi pun ‘bossku’ Mohd Najib Abdul Razak sendiri telah mengatakan yang dia mahu membersihkan namanya di mahkamah.

“Ismail Sabri boleh membantu mereka dengan meluangkan seluas-luasnya masa agar mereka boleh menumpukan sepenuh tenaga kepada perbicaraan mereka,” katanya.

Tambahnya, Ismail boleh meminta bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat saringan terperinci terhadap mereka yang terlibat dengan kes rasuah dan pelbagai skandal video.

BACA JUGA : Jangan diulangi kesilapan lalu, pesan Zahid kepada PM baharu

“Elok jugalah Ismail Sabri dari awal-awal lagi menolak kerajaan perpaduan dengan pembangkang.

“Dengan itu tidaklah terjadi pecah belah di kalangan pembangkang macam terjadi kepada PN apabila kluster mahkamah dan kleptokrat menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/588430

CATEGORIES