Jururawat sibuk kerja di Timur Tengah, suami ‘joli’ duit kiriman

Oleh AHMAD SULAIMAN

Seorang wanita bergelar jururawat sanggup berhijrah ke Timur Tengah bagi mencari duit lebih untuk memberi kehidupan yang selesa kepada keluarganya.

Namun, pengorbanan wanita itu malangnya tidak dihargai suami malah lelaki berkenaan sanggup bernikah buat kali kedua di Thailand tanpa pengetahuannya.

Lebih memburukkan keadaan, lelaki durjana itu tergamak menggunakan duit kiriman isterinya untuk menampung perbelanjaan nikah dan mas kahwin buat isteri kedua.

Jururawat sibuk kerja di Timur Tengah, suami ‘joli’ duit kiriman

Perbuatan suaminya itu hanya terbongkar setelah anak mereka mengadu bahawa duit kiriman ibunya masih tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan sekolah.

Sedangkan, jururawat yang dikenali sebagai Ayu itu tidak pernah lupa mengirimkan wang pada setiap bulan berjumlah kira-kira RM7,000 kepada keluarga melalui suami.

Hanya mengetahui perkara sebenar selepas pulang ke Malaysia, Ayu langsung tidak menyangka lelaki ‘biawak hidup’ itu rela mengkhianati ikatan pernikahan mereka.

Bukan cerita rekaan, kejadian ini dikongsikan sendiri oleh peguam yang mewakili Ayu iaitu Fahmi Ramli menerusi satu perkongsian tular di akaun Facebook miliknya.

Difahamkan, kes tersebut sudahpun selesai dibicarakan di Mahkamah Syariah Kuala Muda, Kedah setelah Ayu memfailkan satu tuntutan penceraian terhadap suaminya.

“Kantoi apabila anak mengadu dan tanya kenapa Ayu bagi duit tak cukup. Sebab nak bayar yuran kelas tambahan lagi. Balik sahaja ke Malaysia, Ayu terus soal suaminya.

“Ayu tanya bagaimana anak boleh cakap duit tak cukup. Dia juga minta buku simpanan yang suami pegang sebagai amanah. Bila ditekan baru lah ‘pecah lubang’.

“Suaminya mengaku telah berkahwin dengan perempuan lain. Janda kampung sebelah sahaja. Tetapi apabila masuk mahkamah, suami tak mahu lepas (cerai),” katanya.

Fahmi sebagai peguam akhirnya berjaya membuktikan keculasan suaminya yang gagal membayar nafkah sebelum mahkamah membenarkan penceraian mereka.

Berkongsi cerita bagi memberi pengajaran kepada isteri lain di luar sana, Fahmi berharap wanita yang bekerjaya lebih berhati-hati dengan lelaki ‘biawak hidup’.

“Isteri tak wajib beri duit kepada suami. Kalau niat nak membantu, berpada-padalah. Jangan sampai suami naik lemak. Ramai yang naik lemak sekarang sebab isteri dah kerja.

“Baik tak payah jadi lelaki kalau isteri yang ‘dok’ tanggung,” ulas Fahmi.

Baca juga:“Aku curang sebab geli bau badan isteri, rupanya isteri aku rahsiakan sesuatu buat aku menyesal tak hargai dia!”