Sebelum ini, pemain badminton wanita Goh Jin Wei terpaksa menghadapi Olimpik Paris tanpa kehadiran jurulatihnya, Nova Armada.
Nama Goh Jin Wei kini kembali menjadi perhatian apabila dia terpaksa beraksi tanpa bantuan jurulatihnya yang biasanya mendampinginya.
Jin Wei sebelum ini memberitahu bahawa jurulatihnya tidak mempunyai kad akreditasi Olimpik, yang menyebabkan dia bermain tanpa sokongan jurulatih seperti kebiasaannya.
“Saya seorang sahaja yang tiada jurulatih. Seharusnya setiap atlet yang layak ke Olimpik perlu mempunyai jurulatih masing-masing,
Tetapi saya tidak tahu mengapa jurulatih saya tidak dapat pergi kerana dia tidak mempunyai kad akreditasi,” ujarnya ketika ditemui oleh media.
Kad akreditasi didakwa diberikan kepada yang tidak berhak?
Walaupun pulang tanpa membawa pingat, nama Jin Wei menjadi perbualan hangat netizen berikutan isu ‘kuota’ yang didakwa diberikan kepada ahli keluarga pegawai pengiring ke Olimpik yang masih berlangsung.
Ini susulan tersebarnya foto ahli keluarga Presiden Majlis Olimpik yang memakai ‘lanyard’ akreditasi, membolehkan mereka keluar masuk ke acara, majlis atau kawasan yang dibenarkan oleh pihak pengurusan Olimpik Paris.
Netizen kini mula mempersoalkan mengapa jurulatih Nova tidak diberikan pelepasan yang sewajarnya untuk mengiringi atlet, sebaliknya kuota-kuota tersebut diberikan kepada ahli keluarga pengurusan tertinggi majlis sukan Malaysia.
Ramai netizen meminta Hannah Yeoh dan Adam Adli, sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Sukan, untuk memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia mengenai isu ini.