Junta isytihar darurat di Myanmar, kerajaan PN tak layak untuk bersuara – Mohamad Sabu

Junta isytihar darurat di Myanmar, kerajaan PN tak layak untuk bersuara – Mohamad Sabu

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mempersoalkan ironi Malaysia yang menyatakan “kebimbangan serius” negara mengenai penggantungan parlimen dan demokrasi di Myanmar.

“Sebuah kerajaan yang tiga minggu lepas umum darurat dan gantung parlimen, semalam keluarkan kenyataan menzahirkan “serious concern” ke atas sebuah kerajaan yang dua hari lepas umum darurat dan gantung parlimen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Saifuddin mengulas tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen pada 13 Jan lalu atas alasan untuk mengekang Covid-19.

Sementara itu, mengulas isu yang sama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, Malaysia tidak layak bersuara terhadap rampasan kuasa di Myanmar itu.

“(Ini) kerana apa yang dilakukan oleh junta lebih awal dilakukan oleh Muhyiddin dan kabinetnya iaitu tidak menghormati mandat rakyat dalam pilihan raya.

“Eloklah Indonesia, Thailand yang bersuara, malah Laos pun lebih baik,” kata bekas menteri pertahanan dalam satu ciapan di Twitter.

Pada Ahad lalu, tentera Myanmar mengisytiharkan darurat dan menggantung kerajaan yang dipilih secara demokratik dengan alasan berlaku penipuan pilihan raya.

Semalam, Wisma Putra meluahkan rasa bimbang serius akan perkembangan di Myanmar dan menggesa penyelesaian secara diplomatik diadakan.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan di Myanmar sangat membimbangkan.

Katanya, meskipun negara itu mempunyai masalah berhubung hak asasi manusia, namun rampasan kuasa berkenaan telah menjejaskan peralihan Myanmar menjadi sebuah negara demokrasi.

“Meski terdapat banyak kecurangan serta pencabulan hak asasi manusia yang melibatkan warga dan masyarakat Rohingnya oleh rejim yang lalu, demokrasi di Myanmar masih di peringkat permulaan serta yang punya masa depan.

“Tindakan pihak tentera ini hanya akan membalikkan aspirasi rakyat Myanmar, dan menjerumuskan negara itu terus ke lembah kediktatoran,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar turut menggesa pemimpin-pemimpin dunia dan Asean untuk menggembeleng suara dan menggesa pembebasan segera pemimpin Myanmar.

Pemimpin Myanmar yang dipilih secara demokratik Aung San Suu Kyi antara mereka yang sedang ditahan oleh junta tentera.

Di Malaysia, Muhyiddin memberi jaminan bahawa kerajaan awam akan tetap berkuasa meskipun dalam keadaan darurat.

Dia juga menekankan bahawa apa yang berlaku di Malaysia sekarang bukan rampasan kuasa tentera.

Yang di-Pertuan Agong juga telah menetapkan tarikh akhir proklamasi darurat itu pada 1 Ogos. –MK