Jumlah zakat Tabung Haji meningkat, serah lebih RM3.4 juta kepada Pulau Pinang

Jumlah zakat Tabung Haji meningkat, serah lebih RM3.4 juta kepada Pulau Pinang

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM3,447,686.44 kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Jumlah itu ialah wang zakat bagi tahun kewangan berakhir 2019.

Menurut TH, jumlah bagi ZPP tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM 3,446,420.49.

“Setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat golongan asnaf di negeri ini.

“TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh ZPP ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri Pulau Pinang bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf,” kata Pengarah Eksekutif (Haji) TH, Syed Saleh Syed Abd Rahman dalam kenyataan hari ini.

Syed Saleh menyerahkan zakat tersebut kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Dr Abdul Rahman Abbas dalam satu majlis ringkas di kediaman rasmi Abdul Rahman di Seri Mutiara.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah ZPP Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali; Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, dan Pengarah TH Pulau Pinang Mohamad Abas.

Menurut TH, jumlah keseluruhan bayaran zakat oleh badan itu pada 2019 mencatatkan peningkatan di seluruh negeri sebanyak RM86,185,327, berbanding RM85.570,873.00 pada 2018.

Kata TH lagi, pada tahun ini, badan itu memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan program zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui program berbentuk pendidikan, kebajikan, dan kemsayarakatan.

“Inisiatif ini juga diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf,” kata TH lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/540163

COMMENTS