Jualan harian RM3 juta! Ini kisah pengasas Ramly Burger ramai tak tahu

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Di Malaysia, burger adalah salah satu makanan yang popular dan mudah dijumpai di mana-mana.

Ini disebabkan oleh kehadiran banyak gerai atau stall burger di pelbagai lokasi, sama ada di bandar, kawasan perumahan, mahupun di kampung.

Gerai-gerai burger biasanya beroperasi dari awal petang hingga lewat pagi.

Jualan harian RM3 juta! Ini kisah pengasas Ramly Burger ramai tak tahu

Kisah dan sejarah pengasas burger Ramly:

Apabila berbicara tentang burger, Ramly Burger adalah salah satu jenama burger yang paling terkenal di kalangan pencinta makanan dan peniaga burger.

Nama Ramly bin Mokni mungkin tidak dikenali oleh ramai orang, tetapi Ramly Burger sudah menjadi sinonim dengan burger di Malaysia. Hampir setiap orang, tanpa mengira usia, pernah merasai produk daripada jenama ini.

Namun, cerita tentang pengasasnya tidak banyak diketahui.

Pengasas dan pemilik Kumpulan Ramly, Dato’ Haji Ramly bin Mokni, 64 tahun, dilahirkan sebagai anak petani di Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak. Beliau merupakan anak kedelapan daripada 16 orang adik beradik.

Kerana kehidupan yang sukar di kampung, Dato’ Haji Ramly pindah ke Sekinchan, Selangor bersama salah seorang abangnya dan mula bekerja sebagai buruh. Kemudian, beliau bekerja sebagai pemotong daging di Kuala Lumpur.

Walaupun bermimpi untuk menjadi doktor sejak kecil, Dato’ Haji Ramly tidak dapat mengejar cita-citanya itu kerana kekangan kewangan keluarganya. Akhirnya, beliau terlibat secara serius dalam bidang pemprosesan daging.

Pada awalnya, beliau menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumahnya di Flat Jalan Haji Hussien, Kampung Baru, bersama isterinya, Datin Shala Siah binti Abdul Manap. Keputusan untuk memulakan perniagaan ini diambil pada tahun 1978 ketika isu halal haram mengenai daging burger mencetuskan kontroversi di pasaran tempatan.

Walaupun hanya memiliki modal RM2,000 tanpa peralatan pemprosesan daging yang mencukupi, mereka berdua berjaya menghasilkan daging burger sendiri. Mereka membuka gerai burger dan mulai menjual daging burger mentah serta siap dimasak di sekitar Kampung Baru, Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman, dan Jalan Raja Laut.

Pada awalnya, perniagaan mereka tidak mendapat sambutan kerana burger masih belum popular di Malaysia. Namun, dengan ketekunan dan kegigihan Dato’ Haji Ramly dan isteri, jualan mereka mula meningkat dari 200 keping hingga 2,000 hingga 3,000 keping sehari.

Pada tahun 1980, mereka mula membuka syarikat mereka sendiri. Selepas empat tahun beroperasi, mereka berjaya membuka kilang di Bandar Tun Razak yang mampu menghasilkan kira-kira 10,000 keping burger mentah sehari.

Cabaran terbesar mereka adalah ketika memulakan perniagaan, di mana MARA dan beberapa bank tidak yakin dengan produk mereka dan menolak permohonan pinjaman. Namun, keberanian dan kebijaksanaan Dato’ Haji Ramly membuahkan hasil apabila Bank Pembangunan dan Bank Malaysia Berhad akhirnya meluluskan pinjaman untuk memajukan perniagaan mereka.

Dato’ Haji Ramly juga menghadapi fitnah tentang halal haram produknya yang menyebabkan beliau terpaksa membuat laporan polis. Namun, beliau bersabar dan tabah menghadapi dugaan tersebut.

Dari sebuah perniagaan kecil, perniagaan mereka berkembang pesat dari semasa ke semasa. Syarikat utama Dato’ Haji Ramly Mokni kini dikenali sebagai Ramly Mokni Holdings Berhad, dengan anakanak syarikat seperti Ramly Food Processing Sdn. Bhd dan Ramly Mokni Marketing Sdn. Bhd.

Beliau juga berjaya memperluaskan perniagaan ke peringkat komersial dengan membuka Ramly Supermart Sdn. Bhd dan Ramly Mokni Bakery Sdn. Bhd. Syarikatnya telah menerima pelbagai anugerah pengiktirafan dari Bank Pembangunan kerana kejayaannya.

Kini, beliau sedang giat menjalankan rancangan untuk membina sebuah kilang pemprosesan bernilai RM1 bilion di Taman Perindustrian Halal Had di Pulau Indah, Klang, Selangor.

Beliau berhasrat untuk meningkatkan jualan tahunan Ramly Burger dari RM1 bilion kepada RM2 bilion setahun, serta meningkatkan pengeluaran daging yang diproses setiap hari.

BACA: “Suami diberhentikan kerja, habis semua duit simpanan kecemasan, dia paksa aku gadai barang kemas tapi tak sangka dia gadai pada mak mertua!”