Jenazah korban Covid-19 ke-3 selamat dikebumi di Tawau

Jenazah korban Covid-19 ke-3 selamat dikebumi di Tawau

Jenazah seorang lelaki warga tempatan yang meninggal dunia akibat jangkitan virus Covid-19 selamat dikebumikan, di sebuah tanah perkuburan Islam di Tawau, kira-kira 10.20 malam tadi.

Jenazah lelaki berusia 58 tahun yang merupakan kes ke-152 daripada kluster jemaah tabligh, tiba di tanah perkuburan itu dari Hospital Tawau, kira-kira jam 10 malam.

Lima petugas hospital yang berpakaian lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE), mengangkat jenazah menggunakan pengusung hospital.

Tidak seorang pun termasuk pihak media dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan, sehingga selesai pengebumian jenazah yang merupakan kematian ketiga, akibat Covid-19 di negara ini.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac setelah dikesan positif Covid-19, dan mengalami simptom Infeksi Saluran Pernafasan Akut Teruk, serta diberi bantuan pernafasan.

Keadaan kesihatannya didapati merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, sebelum disahkan meninggal dunia hari ini.