Jangan lawan keputusan tak tanding Sabah, tegur perwakilan Kelantan

Jangan lawan keputusan tak tanding Sabah, tegur perwakilan Kelantan

Perwakilan Kelantan Hassan Mahmood mengingatkan pemimpin dan ahli parti itu supaya akur dengan keputusan pucuk pimpinan PAS untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Jelasnya, mereka boleh untuk melahirkan kekecewaan atas keputusan itu, namun tidak boleh sama sekali menentang keputusan pucuk pimpinan.

“Termasuk keputusan (dibuat) pimpinan kita, di Sabah kita tak bertanding.

“Untuk luah rasa kecewa boleh, nak menetang (keputusan) tak boleh. (Perlu) ambil tindakan (mereka yang menentang),” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden PAS di muktamar tahunan parti itu di Kota Bharu, hari ini.

Dengan memetik sirah Nabi Muhammad SAW, Hassan berkata Rasulullah mengarahkan supaya mereka yang tidak mengikut perintah ketuanya agar dibunuh.

Bagaimanapun dalam konteks PAS, katanya, mereka yang ingkar keputusan yang dibuat pucuk pimpinan perlu dikenakan tindakan.

Kelmarin, PAS mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Sabah, bagi mengelakkan pertembungan dengan calon parti sekutunya.

Perkara itu dinyatakan presidennya Abdul Hadi Awang, berhubung ketiadaan calon daripada parti itu dalam pilihan raya kali ini.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menceritakan wujud desakan supaya parti itu diberi laluan ketika rundingan kerusi dibuat sebelum ini.

Namun, katanya keputusan untuk PAS tidak bertanding itu dilakukan bagi mengelak daripada perangkap yang dipasang oleh musuh.

Dalam pada itu, Hassan yang juga Adun Tawang berkata PAS perlu memperkukuhkan kerajaan terlebih dulu sebelum berbicara soal pelaksanaan hukum hudud.

“Asas kerajaan adalah pengawal, kita baru ada pengawal. Jadi sekarang nak buat macam mana? Kena perkukuhan pagar, dalam keadaan sekarang kukuhkan pagar dahulu.

“Kita (perlu) memperkukuhkan kerajaan untuk laksanakan agenda Islam,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/542436

COMMENTS