Adakah Harus Menggantung Ayat-Ayat atau Surah-Surah Al-Quran di Dinding Rumah?
Jawapan:
Meletakkan ayat-ayat atau surah-surah Al-Quran di dinding rumah seperti yang dilakukan
oleh masyarakat Islam kini adalah perkara yang terdapat perselisihan pandangan di kalangan ulama.
Sebahagian ulama mengharuskannya dengan syarat ia dipelihara dan dimuliakan, manakala sebahagian lagi memakruhkannya.
Dalam Kitab Al-Fatawa Al-Hindiyah disebutkan:
“ولو كتب القرآن على الحيطان والجدران بعضهم قالوا: يرجى أن يجوز، وبعضهم كرهوا ذلك مخافة السقوط تحت أقدام الناس”
Ertinya: “Dan jika Al-Quran ditulis di atas dinding dan tembok, maka sebahagian ulama mengatakan bahawa ia diharapkan harus, sementara sebahagian lagi memakruhkannya kerana khuatir ia mungkin jatuh dan diinjak manusia.” (Jilid 5, m.s. 323)
Mufti Jordan turut menyatakan:
“تجوز كتابة الآيات القرآنية على الجدران أو نقشها عليها أو تعليقها على شكل مناظر، ولكن الواجب أن تُعظَّم وتُحترم، وتُصان عن العبث أو الامتهان، وعدم رميها مع القمامة بعد تلفها، لقوله عز وجل: (ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ) الحج/32.”
Ertinya: “Harus menulis ayat-ayat Quran di dinding atau memahatnya atau menggantungnya sebagai tatapan awam, tetapi wajib memuliakannya dan menghormatinya.
Ia perlu dipelihara daripada direndah-rendahkan atau dibuang bersama sampah jika rosak, berdasarkan firman Allah: ‘…dan sesiapa yang memuliakan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu adalah tanda ketakwaan hati.’
” (Al-Haj: 32, Majlis Fatwa Jordan)
Kesimpulan: Tidak mengapa meletakkan ayat-ayat Al-Quran sebagai hiasan di dinding rumah dengan syarat ia diletakkan di tempat tinggi dan jauh dari kemungkinan diinjak manusia.
Ia juga wajib dipelihara daripada kotoran atau perkara yang merendahkannya sebagai tanda penghormatan. Wallahua’lam.
BACA: Setepek Menteri sekolahkan Meta, ‘Beri lebih masa untuk Meta macam bagi muka buat scammer, pedo’