Jangan ambil mudah bila tangan kerap berpeluh, segera jumpa doktor, mungkin penyakit ini menyerang anda

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Peluh adalah keadaan normal bagi semua orang. Namun, pernahkah anda berpeluh sehingga tangan sentiasa basah seolah tiada penghujungnya?

Jika anda mengalami masalah peluh berlebihan, ini mungkin petunjuk bahawa anda menghidap penyakit.

Jika anda masih berpeluh walaupun berada di tempat sejuk seperti bilik berpendingin hawa, itu adalah tanda ada sesuatu yang tidak kena.

Jika tisu atau sapu tangan menjadi teman baik anda kerana peluh berlebihan, mungkin anda adalah salah seorang penghidap penyakit ini!

PELUH BERLEBIHAN BUKAN NORMAL TAPI SATU PENYAKIT

Jangan ambil mudah bila tangan kerap berpeluh, segera jumpa doktor, mungkin penyakit ini menyerang anda

Untuk pengetahuan anda, masalah peluh berlebihan dikenali sebagai hiperhidrosis. Kebanyakan penghidap penyakit ini berumur dalam lingkungan awal 20-an hingga lewat 30-an. Malah, ramai pesakit hiperhidrosis mewarisi penyakit ini daripada ibu bapa mereka, dengan kadar diwarisi sekitar 20 hingga 30 peratus.

Hiperhidrosis ini biasanya berlaku pada bahagian tapak tangan, tapak kaki, dan ketiak.

PUNCA PENYAKIT PELUH BERLEBIHAN ATAU HIPERHIDROSIS

Menurut Dr Muhammad Ishamuddin Ismail, Ketua Pusat Jantung dan Paru-Paru HCTM, terdapat dua punca hiperhidrosis: primer dan sekunder. Namun, punca primer tidak dapat dipastikan secara spesifik.

Punca sekunder pula adalah masalah peluh berlebihan yang terjadi disebabkan oleh penyakit kencing manis, ubat-ubatan, hipertiroid, dan keresahan.

Golongan yang berisiko menghidap penyakit ini adalah mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan hiperhidrosis dan dalam lingkungan usia muda, termasuk pesakit serendah 12 tahun.

CARA MERAWAT PENYAKIT PELUH BERLEBIHAN ATAU HIPERHIDROSIS

Masalah ini biasanya akan reda seiring dengan peningkatan usia. Namun, ramai pesakit hiperhidrosis memulakan rawatan awal seperti menggunakan bedak sejuk, ubat-ubatan, dan suntikan botoks. Disebabkan rawatan ini tidak selalu berkesan dan bersifat sementara, ramai yang memilih kaedah yang lebih efektif seperti pembedahan simpatektomi torasik.

Tahap penyembuhan melalui pembedahan ini mencapai 99 peratus, dan komplikasi adalah sangat rendah, walaupun ada kemungkinan peluh berlebihan berpindah ke kawasan lain seperti paha dan bahagian belakang badan. Oleh itu, ramai yang memilih untuk menjalani pembedahan ini.

Teknik yang digunakan dalam pembedahan ini adalah ‘video assisted thoracoscopic surgery’ (VATS), yang melibatkan prosedur ‘key hole surgery’ dengan luka kecil. Melalui prosedur ini, saraf yang mengawal kelenjar peluh pada aras torasik tertentu akan dimusnahkan dengan cara dipotong, dibakar, atau dikepit.

KESAN MASALAH PELUH BELEBIHAN

Walaupun penyakit ini tidak berbahaya dan tidak melibatkan kematian, ia boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit. Aktiviti harian pesakit sering terganggu. Bayangkan betapa sukarnya untuk menulis jika anda tidak dapat memegang pen dengan tangan yang licin dan kertas yang basah akibat peluh berlebihan.

Selain itu, ia juga memberi kesan kepada emosi pesakit. Penghidap hiperhidrosis sering merasa malu untuk berjabat tangan dengan orang lain kerana bimbang akan dipandang serong.

Ini secara tidak langsung menurunkan keyakinan diri pesakit.

Oleh itu, jika anda mengalami simptom peluh berlebihan yang sukar dikawal, segeralah pergi ke pusat perubatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar.

BACA: Pening sambung belajar terpaksa pinjam ptptn? Ini rahsia sambung belajar tanpa guna pinjaman